Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SDP lancar petisyen bagi ubah sistem pilihan raya

May 18, 2025 | 11:07 PM
SDP, Chee Soon Juan, Paul Tambyah
Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan (dua dari kanan), dan Pengerusi SDP, Dr Paul Tambyah (dua dari kiri), berkongsi inisiatif dan matlamat kempen baru parti mereka, yang antara lain menyeru diadakan reformasi sistem pilihan raya, semasa sidang media di Slim Barracks Rise pada 18 Mei. - Foto ST

Sebuah suruhanjaya pilihan raya bebas, pemansuhan sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan tempoh rasmi berkempen minimum selama 21 hari berbanding sembilan hari ketika ini.

Itu adalah antara cadangan yang dikemukakan dalam petisyen Parti Demokratik Singapura (SDP) yang menggesa agar sistem pilihan raya menjalani pembaharuan.

Petisyen tersebut merupakan sebahagian daripada kempen baru SDP iaitu Perbaharui, Bina Semula, Nyalakan Kembali (‘Renew, Rebuild, Reignite’).

Dilancarkan oleh ketua SDP, Dr Chee Soon Juan, semasa majlis makan malam penghargaan parti itu di Slim Barracks Rise pada 18 Mei, kempen baru tersebut menandakan permulaan usaha untuk meletakkan asas bagi Pilihan Raya Umum (GE) yang akan datang.

Dihadiri oleh sekitar 180 anggota dan sukarelawan SDP, acara itu juga menyaksikan inisiatif lain seperti pelancaran koperasi dan perusahaan masyarakat baru yang dinamakan Perusahaan Sosial dan Koperasi Orange & Teal (OTSEC) serta pemulihan dan pengembangan sayap pemuda parti tersebut.

Menurut SDP, OTSEC menawarkan alternatif yang bersifat masyarakat atau ‘ground-up’ dengan mempromosikan pemilikan oleh ahli, perkongsian keuntungan serta sokongan kepada pekerja bebas dan usahawan baru.

Sebagai respons kepada pertanyaan media tentang kemampanan kempen baru itu, Pengerusi SDP, Dr Paul Tambyah, menjelaskan, walaupun petisyen dalam talian mungkin biasa, inisiatif itu bertujuan sebagai titik permulaan.

“Jadi, terdapat pendekatan pelbagai aspek. Anda tahu, petisyen dalam talian memang banyak, tetapi ia hanyalah titik permulaan kerana selepas itu, ia akan diteruskan dengan forum, pendidikan dan usaha meneroka cabaran undang-undang.

“Dan mudah-mudahan, kami dapat mengekalkan momentum ini melalui pelbagai kegiatan yang akan datang,” kongsi beliau dalam satu sidang media sebelum majlis tersebut.

Pada GE2025, SDP telah bertanding di dua kawasan undi GRC – Marsiling-Yew Tee dan Sembawang – dan dua Kawasan Undi Perseorangan (SMC) – Bukit Panjang dan Sembawang West.

Mereka gagal memperolehi kerusi di Parlimen untuk kesemua kawasan undi yang dipertandingkan itu.

Sementara itu, anggota SDP dan juga pengasas laman web berita alternatif Wake Up, Singapore (WUSG), Encik Ariffin Iskandar Sha Ali Akbar, menjelaskan bahawa usaha pembaharuan sistem pilihan raya itu bersifat tidak berpihak.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk benar-benar mengemukakan reformasi sistem pilihan raya yang kami rasa penting… dan yang paling penting ialah ini adalah usaha tidak berpihak untuk menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.

“Tujuan utama adalah untuk memulakan perbincangan penting mengenai pembaharuan sistem pilihan raya,” kata beliau.

Encik Ariffin Sha juga memerhatikan minat yang semakin meningkat dalam kalangan golongan muda dan menggalakkan penyertaan aktif sebagai warga.

Dalam sidang media itu juga, Dr Chee berkata pilihan raya umum baru-baru ini telah dijalankan dengan “terlalu tergesa-gesa” dan tidak memberikan masa yang memadai kepada para pengundi untuk memahami isu-isu nasional yang memberi kesan kepada masyarakat.

“Ini merupakan maklum balas yang sering kami terima, terutamanya apabila bercakap tentang pengundi muda yang tidak mengetahui tentang proses pilihan raya dan cuba berkumpul untuk memahaminya.

“Apabila mereka mula melibatkan diri dalam proses tersebut, mereka hampir tidak mempunyai masa yang mencukupi, kemudian terpaksa membuat keputusan dengan tergesa-gesa,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg