Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SDP perjuang hak pekerja lebih menyeluruh

May 1, 2025 | 11:04 PM
Berucap di rapat terakhir Parti Demokratik Singapura (SDP) pada 1 Mei, Timbalan Ketua Dasar SDP, Dr James Gomez, merayu agar perlindungan penuh pekerjaan diberikan kepada semua pekerja tanpa mengira jenis pekerjaan, termasuk pekerja penghantaran, pemandu dan pekerja pembersihan.
Berucap di rapat terakhir Parti Demokratik Singapura (SDP) pada 1 Mei, Timbalan Ketua Dasar SDP, Dr James Gomez, merayu agar perlindungan penuh pekerjaan diberikan kepada semua pekerja tanpa mengira jenis pekerjaan, termasuk pekerja penghantaran, pemandu dan pekerja pembersihan. - Foto ST

Parti Demokratik Singapura (SDP) menggesa perlindungan yang lebih kukuh untuk pekerja di semua sektor, termasuk pekerja sambilan dan ‘gig’ pada rapat terakhir pada 1 Mei.

Ini termasuk gesaan agar pasaran pekerja berfungsi secara lebih adil dan menghormati semua pekerja.

Berucap di rapat yang diadakan di Sekolah Rendah Evergreen, Timbalan Ketua Dasar SDP, Dr James Gomez, merayu secara langsung kepada kumpulan terdedah seperti pekerja penghantaran, pemandu, dan pekerja pembersihan, supaya memberi sokongan kepada SDP.

“Adakah kamu di sini? Pekerja penghantaran, pemandu, pengawal keselamatan, pegawai pembersihan, pelayan, juruwang, dan semua pekerja sambilan...

“Ramai daripada anda bekerja berjam-jam hanya untuk menampung kos asas, namun anda tidak dilayan dengan setara dalam pasaran buruh. Anda layak mendapat layanan yang lebih baik,” ujar Dr Gomez, yang bertanding di GRC Sembawang.

Beliau turut menekankan ikrar SDP memperjuangkan perlindungan pekerjaan sepenuhnya bagi setiap pekerjaan.

“SDP akan memperjuangkan pekerjaan sepenuhnya dan perlindungan untuk semua pekerja tanpa mengira jenis pekerjaan.

“Kami juga akan memastikan kos perlindungan ini tidak disalurkan secara tidak adil kepada pengguna,” tambahnya.

Dr Gomez turut menyokong pengaturan kerja fleksibel untuk golongan ibu, dan menentang amalan menjalani latihan tanpa gaji kerana “setiap kerja layak diberi nilai”.

Menyentuh sumbangan suri rumah dan penjaga yang juga merupakan ibu, anak dan isteri, Dr Gomez berkata:

“Di Singapura, wanita menghabiskan dua ganda lebih banyak masa berbanding lelaki untuk melakukan kerja-kerja penjagaan tanpa gaji... sekitar 16 jam seminggu untuk kerja rumah.

“Ini tambahan 18 jam menjaga anak-anak mereka, dan penjagaan warga emas yang berjumlah purata 33 jam kerja penjagaan setiap minggu.

“Itu banyak kerja tanpa gaji. Kami akan memperjuangkan pengaturan kerja fleksibel, cuti keluarga bergaji dan sokongan penjaga yang menyeluruh,” kongsi beliau.

Seorang lagi calon SDP, Encik Damanhuri Abas, dalam hujahnya pada rapat yang sama, mempersoalkan keberkesanan dan kebergantungan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) terhadap parti pemerintah.

Berucap di Rapat Hari Pekerja 2025 pada 1 Mei, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak akan pernah menarik diri daripada pergerakan pekerja dan telah memandang ke hadapan untuk menjangkakan dan menangani cabaran melalui langkah yang “tidak popular tetapi bertanggungjawab”.

“Pada rapat Hari Pekerja, pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah menonjolkan kerjasama yang telah menguntungkan mereka. Tetapi adakah ia benar-benar menguntungkan anda, para pekerja?

“Pemisahan antara kesatuan sekerja dengan pemerintah adalah asas penting untuk memastikan semak dan imbang antara pekerja dengan majikan,” ujar Encik Damanhuri.

Calon SDP lain yang bertanding di GRC Sembawang adalah Bendahari SDP, Cik Surayah Akbar; Naib Pengerusi SDP, Encik Bryan Lim; dan Encik Alfred Tan.

SDP menyertai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP) dalam persaingan tiga penjuru di kawasan undi tersebut.

Pasukan PAP diketuai Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung yang memimpin barisan calon iaitu, Encik Vikram Nair, dan Cik Mariam Jaafar, serta dua muka baru, Encik Ng Shi Xuan dan Encik Gabriel Lam.

Pasukan NSP pula dipimpin Ketua NSP, Encik Spencer Ng dan turut dianggotai Encik Raiyian Chia, Cik Verina Ong, Encik Lee Wei, dan Encik Yadzeth Hairis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg