Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seah Kian Peng dicalon semula sebagai Speaker Parlimen

Indranee kekal sebagai Ketua Dewan, Zaqy Timbalan Ketua Dewan
Jun 20, 2025 | 2:32 PM
Seah Kian Peng, Indranee Rajah
Encik Seah Kian Peng (kiri) akan dicalonkan untuk pemilihan semula sebagai Speaker Parlimen apabila Parlimen ke-15 bersidang untuk sesi pertamanya pada 5 September, manakala Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, pula diberi jawatan Ketua Dewan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, kata PMO dalam kenyataannya. - Foto ZAOBAO, MDDI

Encik Seah Kian Peng akan dicalonkan untuk pemilihan semula sebagai Speaker Parlimen apabila Parlimen ke-15 bersidang untuk sesi pertamanya pada 5 September, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 20 Jun.

Encik Seah ialah Speaker Parlimen semasa dan telah berkhidmat dalam peranan itu sejak 2023.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, pula diberi jawatan sebagai Ketua Dewan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, tambah PMO dalam kenyataannya.

Sementara itu, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, akan kekal sebagai Timbalan Ketua Dewan.

Dalam satu surat kepada Kerani Parlimen – pegawai paling kanan dalam sekretariat yang menyokong Dewan – Encik Wong berkata pemerintah akan mencadangkan pemilihan Encik Seah, manakala beliau memberi jawatan Ketua Dewan kepada Cik Indranee, dan Encik Zaqy sebagai Timbalan Kedua Dewan.

Dalam catatan Facebook pada 20 Jun, Encik Wong berkata Encik Seah sejak 2023 telah memimpin secara mantap dan bertimbang rasa kepada Dewan.

“Beliau telah mempengerusikan perbahasan kami dengan adil dan memastikan prosiding dijalankan dengan bermaruah dan sopan.

“Saya yakin beliau akan terus melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang,” kata Encik Wong.

Kedua-dua Speaker Parlimen dan Ketua Dewan dicalonkan oleh perdana menteri, tetapi Speaker Parlimen kemudiannya dipilih oleh Dewan apabila ia bersidang.

Kedua-dua peranan tidak mempunyai had penggal.

Speaker Parlimen bertanggungjawab ke atas pentadbiran Parlimen dan sekretariatnya, dan mempengerusikan kelakuannya.

Beliau juga memutuskan siapa yang berhak bersuara dan mengemukakan soalan kepada Dewan untuk dibahaskan dan diundi.

Speaker Parlimen juga bertindak sebagai wakil Dewan dalam hubungannya dengan parlimen lain dan mengalu-alukan kedatangan tetamu kenamaan.

Beliau juga mewakili Parlimen di acara kebangsaan dan semasa lawatan rasmi ke luar negara.

Ketua Dewan bertanggungjawab mengatur urusan pemerintah dan program perundangan Parlimen, dan juga mencadangkan tindakan sewajarnya yang perlu diambil ke atas sebarang perkara tatacara yang bangkit di Parlimen.

Beliau juga menggerakkan permintaan usul, seperti melanjutkan masa persidangan melebihi kebiasaan.

Contohnya, semasa penggal beliau sebagai Ketua Dewan, Cik Indranee telah menangani dan mengeluarkan nota mengenai tingkah laku Anggota Parlimen (AP), dan menggulung atau melanjutkan perbahasan mengenai isu-isu utama seperti Belanjawan dan pengendalian pandemik Covid-19 oleh Parlimen ke-14.

Encik Seah, yang merupakan AP GRC Marine Parade-Braddell Heights, telah berkhidmat sebagai Speaker Parlimen sejak 2023.

Beliau telah dicalonkan dan dipilih berikutan peletakan jawatan Speaker Parlimen sebelumnya, Encik Tan Chuan-Jin, selepas hubungan sulitnya dengan rakan AP, Cik Cheng Li Hui, terdedah.

Cik Indranee, yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara) dan AP GRC Pasir Ris-Changi, telah menjadi Ketua Dewan sejak 2020. Beliau mengambil alih Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

Pembukaan Parlimen baru selepas pilihan raya umum (GE) secara tradisinya bermula dengan pemilihan Speaker Parlimen. Ini akan berlaku pada 5 September, berikutan GE yang diadakan pada 3 Mei.

AP kemudiannya akan mengangkat sumpah, dan Presiden Tharman Shanmugaratnam dijadualkan menyampaikan ucapan kepada Parlimen ke-15.

Ucapan Presiden akan menetapkan agenda dan rancangan pemerintah untuk tempoh lima tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg