Singapura mesti kekal sebagai negara di mana semua kaum bertolak ansur dan mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan kaum masing-masing, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Berucap di rapat Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Sekolah Rendah Fern Green, di estet perumahan Fernvale yang berada di bawah SMC Jalan Kayu pada 27 April, Encik Lee berkata dalam bahasa Melayu:
“Semua rakyat Singapura menerima hakikat ini. Inilah cara Singapura dan dasar berbilang kaum kita yang membolehkan semua kaum berkembang maju selama ini.”
Dalam ucapannya itu, Encik Lee turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Melayu/Islam kerana menyokong dasar berbilang kaum pemerintah, yang menurutnya membolehkan masyarakat itu mencapai kemajuan dalam pendidikan, pekerjaan dan pendapatan.
Sebagai Perdana Menteri sepanjang dua dekad lalu, Encik Lee juga berkata beliau sangat menghargai peluang istimewa untuk bekerja rapat dengan masyarakat Melayu/Islam demi mencapai aspirasi mereka.
“Saya gembira ini diteruskan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong. Dengan perkongsian penuh kepercayaan yang erat itu, kita boleh bincangkan isu-isu secara terbuka dan terus terang.
“Kita dapat cari cara yang terbaik untuk tangani isu dalam konteks masyarakat majmuk kita. Beginilah cara masyarakat Melayu/Islam dapat maju ke hadapan dan mencapai kejayaan,” ujarnya depan penyokong.
Mengulas isu campur tangan asing dalam GE2025 semasa berucap dalam bahasa Inggeris pula, Encik Lee berkata ada Anggota Parlimen (AP) dan calon telah dikritik kerana tidak memperjuangkan isu kaum atau kumpulan agama tertentu “dengan cukup lantang”.
Malah, warga asing kini meminta orang ramai mengundi calon Melayu/Islam tertentu berdasarkan kewarakan mereka.
“Warga Singapura perlu memahami ini berlaku, menyedari bahayanya, serta tampil menolaknya dengan keras sambil mengesahkan kita satu rakyat, tidak kira kaum, bahasa atau agama,” kata Encik Lee.
Sedang semua parti pembangkang telah menjelaskan pendirian mereka berkenaan campur tangan asing dalam politik domestik, Encik Lee berkata mereka hanya melakukannya setelah pemerintah PAP mengambil langkah tegas, dan walaupun “ini telah berlaku untuk tempoh waktu tertentu”.
Beliau menggesa warga Singapura mengundi bagi parti dan calon yang benar-benar mendukung kepelbagaian kaum.
Selain Encik Lee, rapat itu turut dihadiri pasukan PAP bagi GRC Ang Mo Kio yang terdiri daripada Encik Darryl David, Cik Jasmin Lau, Encik Victor Lye, dan Cik Nadia Samdin.
Dr Lam Pin Min (GRC Sengkang), Encik Henry Kwek (SMC Kebun Baru), Encik Yip Hon Weng (SMC Yio Chu Kang), dan Encik Ng Chee Meng (SMC Jalan Kayu), juga hadir untuk memberi ucapan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg