Pemerintah yang baik bergantung pada adanya menteri dan Anggota Parlimen (AP) yang cekap untuk memimpin Singapura mengharungi dunia berubah dan mengatasi krisis, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
“Untuk mempunyai pasukan yang baik, pengundi harus mengundi mereka terlebih dahulu.
“Kami mempunyai menteri, AP dan bakal pemegang jawatan politik di serata Singapura dan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), termasuk kawasan undi yang hangat dipertandingkan,” kata Encik Lee.
Beliau berkata demikian semasa berucap di rapat Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Sekolah Rendah Fern Green, di estet perumahan Fernvale yang berada di bawah SMC Jalan Kayu, pada 27 April.
Menggunakan Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang telah berpindah ke GRC Punggol, sebagai contoh, Encik Lee berkata Encik Gan bertanggungjawab untuk ekonomi negara, perdagangan luar negara, serta Penguasa Kewangan Singapura (MAS), antara lain.
Tambahnya, Singapura tidak mampu kehilangan menteri seperti Encik Gan, dan menyeru Singapura agar memastikan Kabinet mempunyai menteri seperti Encik Gan yang “mampu menyumbang banyak untuk Singapura”.
Namun, pada asasnya, Encik Lee berkata GE2025 adalah tentang sama ada Singapura mempunyai pemerintah yang tepat untuk memimpin negara ini mengharungi dunia yang telah berubah.
Langkah-langkah tidak menentu oleh kuasa besar dunia, seperti Amerika Syarikat yang mengenakan tarif tinggi, akan memberi kesan kepada ekonomi negara kecil seperti Singapura, katanya.
“(Ia akan) Lebih sukar untuk kita menyara hidup,” jelas Encik Lee, sambil menambah bahawa rakyat Singapura perlu bersiap sedia menghadapi ketidaktentuan dan pergolakan yang berpanjangan.
Tambahnya, pemerintah yang bagus dan dipercayai boleh bekerjasama dengan rakyat dan memberi Singapura peluang terbaik untuk berjaya.
Encik Lee juga berkata PAP telah membuktikan parti itu boleh memberikan kepimpinan yang baik semasa krisis seperti pandemik Covid-19.
Dalam ucapan bahasa Mandarinnya, Encik Lee berkata jumlah AP pembangkang di Parlimen untuk memantau pemerintah dengan berkesan bukannya sedikit.
“Jika pengundi terus memilih lebih ramai AP pembangkang, dan mengurangkan jumlah AP parti yang memerintah, ini tentunya melemahkan keupayaan parti pemerintah untuk mentadbir,” kata Encik Lee dalam bahasa Mandarin.
Beliau turut berkata Singapura mungkin kehilangan menteri kanan dan menteri berpengalaman yang memimpin GRC jika mereka gagal dipilih dalam pilihan raya umum ini.
“
“Untuk mempunyai pasukan yang baik, pengundi harus mengundi mereka terlebih dahulu. Kami mempunyai menteri, AP dan bakal pemegang jawatan politik di serata Singapura dan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), termasuk kawasan undi yang hangat dipertandingkan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg