Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, akan memimpin pasukan yang dibentuk empat muka baru bertanding di GRC Nee Soon pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Mereka ialah mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Dr Syed Harun Alhabsyi, 40 tahun; Encik Jackson Lam, 40 tahun, ketua syarikat kawalan serangga perosak dan pembersihan; Cik Lee Hui Ying, 36 tahun, yang bekerja dengan Temasek Foundation; dan Cik Goh Hanyan, 39 tahun, mantan pengarah di Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan (MDDI).
Encik Shanmugam mengumumkan demikian di satu sidang media di cawangan Chong Pang Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Yishun Ring Road pada 21 April.
Beliau berkata pasukan baru itu seimbang dengan Dr Syed Harun dan Cik Goh berpotensi menjadi pemegang jawatan politik manakala Encik Lam dan Cik Lee mempunyai banyak pengalaman akar umbi.
“Ini adalah pasukan yang, saya akan katakan, sangat seimbang, tetapi sangat muda – kecuali saya – kerana terdapat gabungan kemahiran dan bakat: dua berpotensi menjadi pemegang jawatan politik yang dapat membantu mentadbir negara secara keseluruhan, dan juga mempunyai pengalaman perkhidmatan yang baik; dua calon dengan banyak pengalaman akar umbi,” katanya.
Encik Shanmugam berkata walaupun calon-calon itu bertanding dalam pilihan raya umum buat kali pertama, ada di antara mereka “sangat berpengalaman” dan telah berkhidmat di GRC Nee Soon selama bertahun-tahun.
Encik Lam misalnya telah menjadi sukarelawan di GRC Nee Soon selama 15 tahun sejak 2013 dan merupakan setiausaha cawangan divisyen Chong Pang selama hampir tujuh tahun.
Bapa sepasang anak kembar itu kemudian memegang jawatan pengerusi cawangan Hougang PAP sekitar satu tahun dan empat bulan sebelum mengundur diri pada Februari 2025.
Cik Lee pula telah menjadi relawan di GRC Nee Soon selama lebih 15 tahun dan telah memulakan acara dan program merentas kumpulan umur berbeza daripada warga emas kepada belia dan keluarga.
Beliau antara lain telah berkhidmat dalam Jawatankuasa Eksekutif Belia, Majlis Belia Pusat, Jawatankuasa Perundingan Rakyat, Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat kawasan undi itu.
Cik Goh pula berpengalaman sebagai pengarah ekonomi dan kemampanan dalam Kumpulan Strategi Pejabat Perdana Menteri sebelum menyandang jawatan pengarah di Pejabat Strategi Negara Bijak dan pengarah bagi kumpulan kecerdasan buatan (AI) negara untuk dasar dan strategi di MDDI.
Ibu tiga anak itu meninggalkan perkhidmatan awam pada 3 April selepas 16 tahun.
Dr Syed Harun pula konsultan psikiatri dan pengarah perubatan di The Starfish Clinic of Psychiatry & Mental Wellness dan merupakan satu-satunya pakar psikiatri Melayu/Islam di Singapura.
Beliau meletak jawatan sebagai NMP pada Februari sebelum tamat penggal, dan memegang pelbagai jawatan kepimpinan dalam pertubuhan awam dan amal di Singapura termasuk sebagai presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).
Encik Shanmugam, 66 tahun, memimpin pasukan PAP yang memenangi pilihan raya umum pada 2020 dengan 61.9 peratus undi, menewaskan Parti Kemajuan Singapura (PSP).
Empat lagi anggota pasukan itu ialah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Encik Louis Ng, Cik Carrie Tan dan Encik Derrick Goh.
Dr Faishal bakal bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights pada GE2025.
Encik Ng adalah Anggota Parlimen (AP) dua penggal, manakala Cik Tan dan Encik Goh telah berkhidmat selama satu penggal dalam Parlimen.
Encik Shanmugam tidak menyatakan sama ada mereka akan dikerahkan ke kawasan undi lain atau akan keluar daripada politik.
GRC Nee Soon, yang kini mempunyai 151,634 pengundi, telah dimenangi parti pemerintah sejak ditubuhkan pada 2011.
Ia antara sembilan kawasan undi yang tidak mengalami perubahan sempadan bagi GE2025.
Bagi GE2025, pasukan PAP dijangka menghadapi saingan daripada parti pembangkang Titik Merah Bersatu (RDU).
Pasukan RDU itu antara lain dijangka terdiri daripada setiausaha agungnya, Encik Ravi Philemon dan pengerusi, Dr David Foo.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg