Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Usah pertikai peranan DPM Gan bantu S’pura harungi cabaran

Covid-19, tarif Amerika antara isu yang ditangani wakil PAP bagi GRC Punggol
Apr 29, 2025 | 10:00 PM
K. Shanmugam, GRC Nee Soon, GE2025, Gan Kim Yong
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, yang memimpin pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Nee Soon, memberi sokongan kepada Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong, dalam ucapannya semasa rapat bagi GRC Nee Soon di Stadium Yishun pada malam 29 April. - Foto ST

Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong memainkan peranan penting semasa Covid-19 dalam membantu Singapura mengharungi pandemik itu dan beliau kini menangani isu tarif dengan Amerika Syarikat, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

“Beliau tidak banyak bercakap, tetapi beliau menyelesaikan tugasnya,” ujar Encik Shanmugam semasa Rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Nee Soon di Stadium Yishun pada malam 29 April.

Sokongan itu diberikan kepada Encik Gan, yang kini mempengerusikan Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian yang ditugaskan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, untuk menyelaras tindak balas Singapura terhadap tarif Amerika.

Pada 27 April, Encik Gan berkata beliau dan Setiausaha Perdagangan Amerika, Encik Howard Lutnick, telah mengadakan perbincangan yang menunjukkan hasil positif dalam mencari penyelesaian terhadap isu tarif.

“Saya berharap Encik Gan akan menemui jalan (penyelesaian) bersama Setiausaha Lutnick.

“Kita semua boleh berharap, jika Encik Gan kekal dalam pemerintah selepas 3 Mei, beliau dapat memainkan peranan dalam menyelamatkan pekerjaan di Singapura,” kata Encik Shanmugam.

Sokongan bagi Encik Gan datang pada waktu yang menyaksikan beliau menjadi tumpuan, selepas Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh dan beberapa calon WP lain mengkritik pasukan PAP di Punggol yang diketuai Encik Gan semasa Rapat Umum WP pada 28 April.

Encik Wong, ketika ditemui media pada 29 April, telah menegur WP kerana nada dan serangan negatif mereka terhadap Encik Gan.

“Adalah sesuatu yang dikesalkan dan mengecewakan apabila WP membuat serangan negatif sebegini terhadap seseorang yang telah banyak meluangkan masa menangani isu-isu nasional, berusaha membaiki keadaan, yang telah banyak berjasa kepada Singapura dan terus berbakti kepada negara.

“Marilah kita tolak politik negatif seperti ini. Anda sepatutnya boleh berbuat lebih baik daripada ini,” kata Encik Wong.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Encik Pritam, yang mempersoal tindakan pemerintah berhubung Encik Gan.

Encik Pritam berkata adalah “amat pelik” menteri Kabinet tersebut tidak dipilih masuk ke dalam jawatankuasa eksekutif pusat PAP yang terbaru pada 2024 dan beliau bertanya sama ada ia kerana Encik Gan bersedia untuk bersara dan tidak merancang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Sementara itu, dalam ucapannya, Encik Shanmugam berkongsi beliau sendiri telah menjadi Anggota Parlimen (AP) selama 37 tahun.

Dalam tempoh itu, terdapat banyak perkembangan di Nee Soon, termasuk pembinaan Hospital Khoo Teck Puat, cadangan bagi laluan MRT Seletar, pembinaan HomeTeamNS Khatib serta kemudahan lain untuk belia dan keluarga muda.

Beliau mengesyorkan lebih banyak peningkatan dan penambahbaikan akan dijalankan seperti laluan berbumbung, menaik taraf taman permainan dan kawasan bersenam untuk warga emas dan dewasa, serta jakuzi di Nee Soon East Oasis Waterpark.

Encik Shanmugam menerajui GRC Nee Soon bersama anggota pasukannya yang terdiri daripada barisan muka baru iaitu Dr Syed Harun Alhabsyi, Encik Jackson Lam, Cik Lee Hui Ying dan Cik Goh Hanyan, yang turut hadir semasa rapat tersebut untuk memberi ucapan.

Dr Syed Harun berkata beliau dan pasukannya hadir untuk mendengar, memahami dan bertindak bersama untuk penduduk Yishun.

Beliau menekankan bahawa rakyat harus kekal berpegang pada budaya, warisan dan identiti yang membentuk jati diri sambil memperkukuhkan lagi keharmonian antara kaum serta agama.

“Di Yishun, kami meletakkan penduduk dahulu,” kata Dr Syed Harun.

Pasukan PAP akan bertanding dengan pasukan Titik Merah Bersatu (RDU), yang dianggotai setiausaha agungnya, Encik Ravi Philemon; pengerusi parti, Dr David Foo; ketua dasar dan ketua biro Melayu, Dr Syed Alwi Ahmad; Cik Sharon Lin; dan Encik Pang Heng Chuan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg