Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Aspirasi Melayu/Islam kekal disokong

Kemajuan besar dicapai masyarakat Melayu/Islam kerana sokong dasar berbilang kaum, miliki semangat satu hati bantu golongan memerlukan di dalam dan luar negara
May 1, 2025 | 8:48 PM
rapat PAP, GE2025, SM Lee Hsien Loong
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berucap dalam bahasa Melayu pada rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diadakan di Maktab Rendah Temasek, pada hari terakhir berkempen, pada 1 Mei. - Foto TANGKAP LAYAR

Kemajuan besar masyarakat Melayu/Islam dalam bekerjasama untuk menangani isu domestik dan luar negara telah dapat dicapai kerana orang Melayu menyokong dasar berbilang kaum pemerintah sejak awal lagi, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Berucap dalam bahasa Melayu pada rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Tampines yang diadakan di Maktab Rendah Temasek pada hari terakhir berkempen pada 1 Mei, Encik Lee berkata masyarakat Melayu telah bersatu untuk membantu mereka yang memerlukan.

Antara contoh ialah dalam usaha mempertingkat keluarga berpendapatan rendah, bahkan, dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.

“Saya gembira melihat bagaimana masyarakat Melayu/Islam kita berkumpul untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Ini sama ada mengenai isu domestik, seperti memperkasa keluarga bergaji rendah dan membantu kanak-kanak dalam pelajaran atau mengenai isu luar seperti bagaimana orang Melayu bersatu dengan rakyat Singapura yang lain, menyiapkan bantuan kemanusiaan ke Palestin.

“Semua ini kita dapat capai kerana orang Melayu menyokong dasar-dasar berbilang kaum pemerintah sejak awal lagi. Marilah kita tingkatkan kemajuan yang kita capai bersama setakat ini,” kata beliau menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada 3 Mei.

Menurut Encik Lee, kemajuan masyarakat Melayu/Islam dalam bidang seperti pendidikan dan pekerjaan sangat ketara berbanding negara maju, dan juga berbanding masyarakat Melayu di tempat lain.

Encik Lee berkata pemerintah akan terus bekerja rapat dengan semua kumpulan kaum dan agama, terutama kaum minoriti, kerana dengan cara inilah, pemerintah meluaskan ruang bersama dalam masyarakat majmuk demi kebaikan semua.

Beliau menambah pasukan generasi keempat (4G) akan meneruskan usaha tersebut “kerana ini adalah prinsip asas dalam pendekatan politik PAP”.

Meskipun sebahagian besar keluarga Melayu/Islam berada dalam keadaan baik, Encik Lee berkata mereka masih bimbang tentang isu seperti kos sara hidup dan perumahan, sama seperti keluarga Singapura yang lain.

Keluarga muda bimbang tentang isu seperti membesarkan anak, sementara keluarga lebih tua pula prihatin akan isu persaraan.

“Itulah sebabnya pemerintah melaburkan banyak usaha, bekerja rapat dengan Menteri Masagos dan Anggota Parlimen PAP Melayu.

“Misalnya, melalui Mendaki, untuk terus perkukuh pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat, dan melalui M Kuasa Tiga (M³). Semua usaha yang berat ini berjaya membantu menghuraikan isu sosial yang masih dihadapi orang Melayu,” kata beliau.

Encik Lee menambah: “Pemerintah akan berganding bahu dengan anda untuk sama-sama menangani isu-isu ini. Kami akan berusaha untuk menangani kebimbangan dan aspirasi anda, serta mengambil kira perspektif dan keutamaan anda dalam dasar negara kita.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg