Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee hargai sumbangan Eng Hen, Maliki kepada S’pura

Apr 21, 2025 | 8:38 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (kiri), menghargai sumbangan Dr Maliki Osman sepanjang hampir 25 tahun dalam perkhidmatan awam, yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan negara dan masyarakat.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (kiri), menghargai sumbangan Dr Maliki Osman sepanjang hampir 25 tahun dalam perkhidmatan awam, yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan negara dan masyarakat. - Foto FACEBOOK LEE HSIEN LOONG

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, merakamkan penghargaan kepada Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Dr Mohamad Maliki Osman, berikutan pengumuman mengenai persaraan mereka daripada politik.

Dalam catatan Facebook pada 21 April, Encik Lee berkata beliau telah mengenali Dr Ng sejak beliau menyertai bidang politik pada 2001. 

Encik Lee juga berkata melantik Dr Maliki sebagai pemegang jawatan politik apabila beliau menjadi Perdana Menteri pada 2004. 

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, turut menzahirkan penghargaan kepada Dr Ng dan Dr Maliki atas khidmat bakti dan sumbangan besar mereka kepada negara.

Encik Lee berkata: “Saya berterima kasih kepada Eng Hen (Dr Ng) dan (Dr) Maliki atas segala jasa mereka kepada Singapura, dan mengucapkan selamat maju jaya dalam fasa kehidupan mereka seterusnya.”

Beliau menyifatkan Dr Ng sebagai seorang yang jelas, logik dan tegas – sebagaimana yang dijangka daripada seorang bekas pakar bedah. 

“Pada mulanya, politik dan dasar awam merupakan bidang yang asing baginya, tetapi beliau cepat menyesuaikan diri. 

“Beliau kekal tenang ketika krisis dan konsisten dalam jangka panjang. Dalam Kabinet, apa jua isu yang dibincangkan, saya sentiasa menghargai pandangannya,” kata beliau yang telah mengenali dan bekerja rapat dengan Dr Ng sejak beliau mula menyertai politik pada 2001.

Mengenai Dr Maliki, Encik Lee berkata: “Beliau telah berkhidmat dalam beberapa kementerian berbeza, dan merupakan seorang anggota pasukan yang serba boleh serta berdedikasi. 

“Sepanjang hampir 25 tahun dalam perkhidmatan awam, beliau telah banyak menyumbang kepada kemajuan negara dan masyarakat kita.”

Antara sumbangannya, Dr Maliki telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa serta giat membangunkan dasar sosial dan jaringan keselamatan di dalam negara, tambah Encik Lee.

Beliau juga bekerjasama rapat dengan masyarakat Melayu/Islam dalam usaha mempertingkatkan kehidupan serta menangani isu-isu yang rumit dan sensitif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg