Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Kemerdekaan S’pura tidak boleh dielakkan

SM Lee kongsi pengajaran dari perpisahan dengan M’sia ketika lancar pameran tetap, buku Fail Albatros
Dec 7, 2025 | 5:17 PM
SM Lee, pameran, Fail Albatros
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (duduk) dan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, (duduk, terselindung) berinteraksi dengan paparan interaktif sempena pameran tetap, Fail Albatros: Kemerdekaan Singapura yang Bukan Rahsia di Perpustakaan Negara pada 7 Disember. Bersama mereka ialah (dari kanan) Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perpustakaan Negara, Cik Melissa-May Tam; Pengarah Kreatif Eksekutif pameran, Encik Gene Tan dan Ketua Eksekutif Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Encik Ng Cher Pong. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, mahukan aturan perlembagaan lebih longgar agar Singapura tidak berpisah sepenuhnya dari Malaysia, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Meskipun beliau memberikan tekanan politik ke atas kerajaan persekutuan Malaysia untuk membuat keputusan tentang Singapura, tujuannya adalah untuk memperkukuhkan kedudukan politik negara ini dengan mendapatkan lebih banyak autonomi manakala perpisahan hanyalah menjadi pilihan jika kerajaan tidak mempersetujui pengaturan semula.

Mendiang Lee berat untuk meninggalkan Malaysia, lebih-lebih lagi tatkala isu kelangsungan hidup amat meruncing dan tidak jelas yang Singapura wajar menjadi negara merdeka pada waktu itu, kongsi Encik Lee dalam ucapannya semasa majlis pelancaran pameran tetap dan buku Fail Albatros: Di Sebalik Perpisahan di Bangunan Perpustakaan Negara pada 7 Disember.

Bahkan sehingga ke saat-saat akhir perpisahan, mendiang Lee masih lagi berbelah bagi, tambah beliau.

Encik Lee menyingkap kisah itu ketika beliau berusia 13 tahun semasa bercuti bersama keluarga, termasuk bapanya mendiang Lee, di Cameron Highlands pada 3 Ogos 1965 – beberapa hari sebelum Singapura mengisytiharkan kemerdekaan dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Sambil menahan sebak, Encik Lee berkata ayahnya menerima panggilan dari Timbalan Perdana Menteri Singapura, mendiang Dr Goh Keng Swee, perunding utama rundingan antara Singapura dengan Malaysia dan memberitahunya yang beliau perlukan masa untuk berfikir dan membuat keputusan.

“Saya tidak tahu ia (panggilan itu) berkenaan apa, tetapi semuanya menjadi jelas selepas 9 Ogos,” ujar Encik Lee.

Namun dalam beberapa tahun sahaja, semua pemimpin perintis Singapura, termasuk Encik Lee dan mereka yang pada awalnya menandatangani perjanjian itu dengan berat hati, akhirnya sependapat bahawa perpisahan adalah perkara terbaik yang pernah berlaku kepada Singapura.

“Dalam tahun SG60 ini, kami amat bersyukur dengan tindakan Dr Goh. Singapura telah berkembang dan maju jauh melebihi apa yang dibayangkan oleh para bapa pengasas,” ujar Encik Lee dengan sebak.

Encik Lee menggariskan salah satu pengajaran penting daripada perpisahan itu ialah dari segi kepercayaan antara rakyat dengan pemerintah.

“Kepercayaan terhadap pemerintah, terutamanya terhadap kepimpinan politik, dibina atas keyakinan rakyat bahawa para pemimpin mereka sentiasa akan menyokong dan melindungi kepentingan mereka,” ujarnya.

Menurut beliau, pemimpin pengasas meraih hak untuk memerintah Singapura kerana rakyat yakin yang Encik Lee dan pasukannya tidak boleh ditakut-takutkan untuk berkompromi dalam kepentingan Singapura.

“Tidak pernah ada Perdana Menteri Singapura yang membenarkan mana-mana kuasa, sama ada kuasa asing atau domestik, untuk menakut-nakutkan kita untuk berkompromi dengan kepentingan negara atau kedaulatan kita,” tegas Encik Lee.

Satu lagi pengajaran daripada perpisahan itu ialah tidak mengambil ringan perihal keharmonian kaum dan agama di sini.

“Dari September 1963, apabila Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi tiga kerusi di kawasan yang majoriti berbangsa Melayu dalam pilihan raya, sehingga Julai 1964, apabila rusuhan perkauman berlaku, adalah 10 bulan sahaja.

“Dalam tempoh yang singkat ini, golongan Ultras (golongan radikal dalam parti Umno) berjaya menanam bibit ketidakpercayaan mendalam dalam kalangan bangsa Cina dan Melayu,” ujar beliau.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (dua dari kiri) dan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, melihat salah satu dokumen yang dipamerkan kepada umum buat kali pertama di pameran tetap baru di Bangunan Perpustakaan Negara pada pada 7 Disember. Mereka ditemani (dari kanan) Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perpustakaan Negara, Cik Melissa-May Tam dan Pengarah Kreatif Eksekutif pameran, Encik Gene Tan.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (dua dari kiri) dan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, melihat salah satu dokumen yang dipamerkan kepada umum buat kali pertama di pameran tetap baru di Bangunan Perpustakaan Negara pada pada 7 Disember. Mereka ditemani (dari kanan) Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perpustakaan Negara, Cik Melissa-May Tam dan Pengarah Kreatif Eksekutif pameran, Encik Gene Tan. - Foto ZAOBAO

Encik Lee, berkata keputusan perpisahan Singapura dari Malaysia adalah disebabkan politik identiti berdasarkan kaum dan agama.

“Kita tidak akan membenarkan kaum atau agama untuk memecahbelahkan Singapura,” tekan beliau.

Encik Lee akur ramai warga Singapura kini mungkin melihat perpisahan ini sebagai satu kenangan silam serta mempersoalkan mengapa pemimpin kita berat dengan keputusan untuk keluar daripada Malaysia sedangkan ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

Namun, bagi mereka yang melalui era 1960-an, setiap langkah dan keputusan yang diambil ketika itu tidak memastikan hala tuju yang pasti, tekan Encik Lee.

“Baik pemimpin pengasas mahupun rakyat yang mereka pimpin, kedua-duanya tidak dapat memastikan Singapura akan bertahan, apatah lagi berkembang maju, sebagai negara yang merdeka.

“Seperti yang pernah dikatakan oleh mendiang Lee, beliau lega kerana tidak perlu mengharungi lagi tempoh 23 bulan – dari detik Singapura dan Malaysia bersatu pada September 1963 hingga (kedua-dua negara) berpisah pada Ogos 1965.

“Beliau (mendiang Lee) tidak pasti kita begitu bernasib baik untuk bangkit semula daripada tempoh yang menakutkan itu,” ujar Encik Lee.

Anekdot mendiang Lee yang dikongsinya itu merupakan antara petikan lisan yang diketengahkan dalam pameran tersebut, yang bertempat di aras 10 Bangunan Perpustakaan Negara.

Pameran percuma berjudul Fail Albatros: Kemerdekaan Singapura yang Bukan Rahsia dan berlandaskan buku yang baru dilancar Encik Lee itu dibuka kepada umum mulai 8 Disember.

Salah satu daripada empat bahagian dalam pameran tetap di aras 10 Bangunan Perpustakaan Negara.
Salah satu daripada empat bahagian dalam pameran tetap di aras 10 Bangunan Perpustakaan Negara. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Turut hadir di acara itu ialah mantan Menteri Pendidikan, Encik Ong Pang Boon – satu-satunya pemimpin perintis yang masih hidup daripada 10 anggota yang menandatangani Perjanjian Perpisahan antara Singapura dengan Malaysia.

Tetamu lain termasuk Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; mantan Presiden Halimah Yacob dan beberapa barisan anggota Kabinet semasa dan terdahulu.

Ini adalah kali pertama kandungan fail itu, milik mendiang Dr Goh dan sebelum ini adalah rahsia negara, didedahkan kepada awam.

Menurut Encik Lee, beliau memutuskan untuk mendedahkan dokumen dan nota yang terkandung dalam Fail Albatros kepada umum semasa menyandang jawatan Perdana Menteri kerana ia memberikan urutan komprehensif mengenai detik penting sejarah Singapura.

Ini selain pendedahan petikan lisan, kertas rahsia Kabinet dari 1964 hingga 1965, nota bertulis dan artifak daripada pemimpin pengasas seperti Encik Lee, Mantan Timbalan Perdana Menteri, mendiang Dr Toh Chin Chye, Dr Goh dan mantan Menteri Ehwal Sosial, Allahyarham Othman Wok.

Mereka antara 10 pemimpin perintis yang menandatangani Perjanjian Perpisahan antara Singapura dengan Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg