Meskipun emosi rakyat semakin memuncak, keprihatinan mereka terhadap konflik di Gaza tidak seharusnya bertukar menjadi perbalahan di kalangan rakyat Singapura, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.
Berucap di rapat Pilihan Raya Umum (GE) di Sekolah Menengah Yusof Ishak pada 26 April, SM Teo berkata pendirian pemerintah mengenai situasi itu adalah jelas, dan mereka telah mengecam penggunaan keganasan secara haram terhadap orang awam daripada semua pihak.
“Kami menyokong penyelesaian dua negara, termasuk penubuhan negara Palestin,” katanya, sambil menambah Singapura telah menyokong usul tersebut di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
SM Teo, yang menyertai politik pada 1992 dan merupakan menteri utama bagi GRC Pasir Ris-Punggol, adalah antara 20 Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mengundur diri dari GE2025.
Ketika berucap di rapat GE PAP di Punggol, SM Teo berkata beliau telah menjelaskan isu-isu berkaitan serta pendirian Singapura secara tertutup kepada pelbagai kumpulan masyarakat di sini, bagi mewujudkan kefahaman yang lebih mendalam dan mengelakkan konflik.
SM Teo turut menarik perhatian bahawa Encik Gerald Giam – salah seorang calon Parti Pekerja (WP) yang bertanding di GRC Aljunied – pernah berkhidmat di Kementerian Ehwal Luar (MFA), dan dalam kapasiti beliau sebagai AP, turut menyertai Menteri Ehwal Luar, Encik Vivian Balakrishnan, sebagai sebahagian daripada delegasi Singapura yang bertemu dengan pemimpin Palestin dan Israel pada 2024.
“Oleh itu, saya berharap Encik Gerald Giam akan meluangkan masa untuk menjelaskan perkara ini kepada rakan sepasukannya, supaya dalam kehangatan GE ini, kita tidak secara tidak sengaja membangkitkan emosi rakyat Singapura, dan supaya kita dapat menumpukan perhatian kepada isu-isu sebenar, isu-isu berkaitan kos sara hidup serta keperluan rakyat Singapura,” katanya.
Dalam manifesto WP, mereka menyeru agar Singapura secara rasmi mengiktiraf negara Palestin sebelum rundingan penyelesaian dua negara dengan Israel dimuktamadkan, lapor The Straits Times (ST).
Pasukan WP yang bertanding di GRC Punggol terdiri daripada empat anggota – iaitu peguam kanan, Encik Harpreet Singh; pengarah kanan firma teknologi iklan, Encik Alexis Dang; penasihat undang-undang, Cik Alia Mattar; dan pengurus kanan urusan korporat dan pemasaran, Encik Jackson Au.
Mereka berdepan dengan pasukan PAP yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling; dan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling.
Kesedihan atas tragedi di Gaza tidak seharusnya bertukar menjadi kemarahan dan konflik di sini, terutama kerana konflik itu tidak melibatkan rakyat Singapura, jelas SM Teo.
Singapura tidak mahu orang luar campur tangan dalam politik tempatan, dan isu sebegini tidak seharusnya dieksploitasi untuk memecahbelahkan rakyat, tegasnya.
“Jika setiap masyarakat meletakkan kepentingan mereka sendiri sebagai keutamaan – mengatasi kepentingan masyarakat lain, kita akan mencetuskan ketegangan, dan akan ada tentangan, dan ini akan menyebabkan perpecahan dalam keharmonian kaum di Singapura. Dan kita tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku di Singapura.
“Kita tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku di Punggol. Jadi, mari kita memilih dengan bijak, pilih untuk membina perpaduan dan jangan biarkan idea-idea mereka yang ingin memecahbelahkan masuk ke Punggol,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg