Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Teo: PAP tidak ‘menyerah’ mana-mana kawasan undi dalam pilihan raya

Pasukan calon PAP di GRC Aljunied bawa kepakaran, pengalaman dan tenaga baru
Apr 25, 2025 | 6:56 PM
GE2025, SM Teo, GRC Aljunied
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean (duduk, tengah), bersama pasukan PAP yang bertanding di GRC Aljunied (berdiri, dari kiri) Dr Faisal Abdul Aziz, Encik Adrian Ang, Encik Jagathishwaran Rajo, Cik Chan Hui Yuh, dan Encik Daniel Liu, berinteraksi dengan para penduduk di Pasar dan Pusat Penjaja Bedok 538 di Bedok North Street 3 pada 25 April. - Foto ST

Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah meletakkan calon di semua kawasan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Singapura bagi memastikan setiap pengundi mempunyai pilihan, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, pada 25 April semasa lawatan bertemu penduduk di GRC Aljunied.

Sehubungan itu, parti itu telah menampilkan satu pasukan muda yang kuat ke kawasan tersebut, tambahnya.

Encik Teo, yang tidak akan bertanding dalam GE2025, membuat penampilan bersama pasukan PAP semasa lawatan bertemu penduduk di kawasan kubu kuat Parti Pekerja (WP) itu, di Pasar dan Pusat Penjaja Bedok 538, di Bedok North Street 3.

Pasukan PAP diisytiharkan menang tanpa bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights, selepas proses penamaan calon ditutup pada 23 April.

Ini berlaku selepas WP, parti pembangkang utama Singapura, membuat keputusan untuk tidak bertanding di kawasan itu.

Keputusan WP itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sebilangan pengundi di GRC tersebut yang menantikan peluang mengundi parti pilihan mereka.

Tanpa merujuk secara khusus kepada perkara tersebut, Encik Teo, dalam temu bual bersama media semasa lawatan itu, berkata:

“Kami meletakkan calon di setiap kawasan undi di Singapura, calon yang berwibawa dan dipercayai... untuk memastikan setiap pengundi mempunyai pilihan.

“Kami tidak menyerah mana-mana kawasan undi pilihan raya.”

Apabila ditanya secara khusus mengenai kemenangan PAP tanpa bertanding di kawasan itu, beliau berkata:

“Pada Hari Penamaan Calon, kami ingin memastikan bahawa kami menawarkan calon-calon di setiap kawasan undi pilihan raya agar setiap rakyat Singapura berpeluang mengundi calon PAP.”

Pasukan PAP di GRC Aljunied terdiri daripada calon kali kedua, Cik Chan Hui Yuh, 48 tahun; dan empat muka baru – doktor gigi, Dr Faisal Abdul Aziz, 37 tahun; pengarah syarikat, Encik Adrian Ang, 42 tahun; ketua perunding perancangan bandar, Encik Daniel Liu, 40 tahun; dan aktivis kesatuan sekerja, Encik Jagathishwaran Rajo, 37 tahun.

Mereka menentang pasukan WP yang diketuai Encik Pritam Singh, 48 tahun; bersama Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, 60 tahun; Encik Gerald Giam, 47 tahun; muka baru, Encik Kenneth Tiong, 36 tahun; dan Encik Fadli Fawzi, 44 tahun, yang telah bertanding di GRC Marine Parade di bawah WP pada 2020.

Encik Teo berkata pasukan baru PAP itu akan membawa kepakaran, pengalaman dan tenaga baru kepada barisan PAP dalam pilihan raya ini, lapor The Straits Times.

“Ini adalah pasukan yang kuat, pasukan yang diperbaharui, dan kami berharap anda memberi mereka sokongan di sini. Mereka ingin mewakili anda di Parlimen, mereka ingin mencadangkan idea-idea membina – bukan sekadar membantah semata-mata – dan mereka bersedia berbuat demikian,” ujar beliau.

Encik Teo menambah bahawa calon-calon tersebut ingin menjaga kawasan itu dengan lebih baik dan memastikan para penduduk mempunyai pelbagai inisiatif tempatan, yang lebih daripada apa yang disediakan oleh skim nasional.

Mereka juga ingin memastikan bahawa setiap Anggota Parlimen (AP) menegakkan prinsip kebenaran, di samping mengamalkan ketelusan, tambahnya.

Apabila diminta pandangan beliau mengenai cabaran menentang pasukan semasa WP, Encik Jagathishwaran berkata:

“Kami datang ke GRC Aljunied dengan mata terbuka kerana kami mempunyai hati untuk berkhidmat kepada penduduk. Ini bukan pertandingan populariti.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg