SPH Logo mobile
Langgan|

SM Teo: Pemerintah sokong inisiatif majukan masyarakat Melayu/Islam

SM Teo: Pemerintah sokong inisiatif majukan masyarakat Melayu/Islam

Apr 27, 2025 | 10:40 PM

SM Teo: Pemerintah sokong inisiatif majukan masyarakat Melayu/Islam

GE2025, PAP, GRC West Coast-Jurong West
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, berkata pemerintah akan terus menyokong inisiatif untuk memajukan lagi masyarakat Melayu/Islam, antaranya menubuhkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS). Beliau berkata demikian di rapat calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk GRC West Coast-Jurong West di Stadium Jurong West pada 27 April. - Foto ST

Masyarakat Melayu/Islam Singapura telah mencapai kemajuan besar dengan lebih ramai yang meraih pendidikan tinggi dan bekerja sebagai golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.

Beliau menambah, pemerintah akan terus menyokong inisiatif untuk memajukan lagi masyarakat Melayu/Islam, antaranya menubuhkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

“Lulusan kolej ini akan mempunyai pengetahuan mendalam dalam bidang agama dan juga dalam kerja sosial berlandaskan masyarakat dan keperluan Singapura.

“Ini akan membantu mengukuhkan lagi masyarakat Melayu/Islam kita dan menyumbang kepada keharmonian berbilang agama kita di Singapura,” ujar Encik Teo.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam bahasa Melayu di rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) bersama calon PAP di GRC West Coast-Jurong West dan SMC Pioneer di Stadium Jurong West pada malam 27 April.

Hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan PAP di situ, Encik Teo turut mengulangi pendirian pemerintah Singapura mengenai isu di Gaza, terutamanya dalam mengutuk tindakan yang melanggar peraturan daripada semua pihak.

“Kami menyokong penyelesaian dua negara yang termasuk menubuhkan sebuah negara Palestin. Kami telah mengundi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk ini,” terangnya.

Selain itu, Encik Teo turut mengutarakan kebimbangan mengenai isu cukai tarif Amerika Syarikat.

Walaupun Parti Kemajuan Singapura (PSP) menolak kebimbangan itu, beliau mengingatkan bahawa isu tersebut adalah ancaman nyata yang memberi kesan jangka panjang.

Sementara itu, berkongsi persediaan pemerintah PAP, Encik Teo berkata Singapura harus memperkukuh tiga rizab antaranya kewangan, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan pasukan Home Team, serta rizab masyarakat iaitu ketahanan sosial dan kesatuan.

Selain Encik Teo, rapat itu turut dihadiri semua calon PAP di GRC West Coast-Jurong West dan SMC Pioneer.

Ia termasuk Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang; Dr Hamid Razak; Encik Ang Wei Neng; Cik Cassandra Lee; dan calon SMC Pioneer, Encik Patrick Tay.

Kos sara hidup, peluang pekerjaan dan sokongan keluarga menjadi tumpuan ucapan pasukan itu.

Mereka menegaskan bahawa khidmat mereka bukan hanya diperkukuh dengan inisiatif tempatan dan penglibatan rapat bersama masyarakat, tetapi juga tertumpu pada dasar nasional.

Encik Lee, yang menerajui pasukan PAP GRC West Coast-Jurong West, berkata pasukannya akan memberi tumpuan kepada sembilan bidang utama.

Antaranya, membantu isi rumah menghadapi tekanan kos sara hidup, menyokong warga emas kekal sihat dan bermakna, membantu pencari kerja mendapatkan peluang baik, memperjuangkan kesejahteraan keluarga, menyokong perkembangan kanak-kanak dan belia.

Selain itu, mereka berhasrat memperkasakan golongan kurang upaya serta golongan penjaga mereka, meningkatkan kehidupan mereka yang memerlukan, memperbaharui kawasan perumahan awam dan swasta, serta membina bandar lebih hijau, mampan dan inklusif.

“Dalam setiap apa yang kami lakukan, matlamat kami adalah untuk berkhidmat kepada anda, rakyat Singapura.

“Apabila merancang masa depan Singapura, kami sentiasa melakukannya dengan anda dalam fikiran,” katanya.

Selain berkhidmat kepada penduduk di kawasan perumahan itu, pasukan PAP itu berhasrat membantu rakyat Singapura umumnya seperti isu warga emas, anak muda, kos sara hidup, pekerjaan, perumahan, katanya.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, akan menerajui pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC West Coast-Jurong West untuk Pilihan Raya Umum (GE2025).
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, akan menerajui pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC West Coast-Jurong West untuk Pilihan Raya Umum (GE2025). - Foto ST

Dr Hamid pula menyuarakan hasrat mahu memperjuangkan dasar yang membolehkan penggunaan Medisave secara lebih fleksibel, selain mengkaji semula manfaat pekerjaan untuk menyokong kehidupan berkeluarga.

Sebagai pakar ortopedik dengan pengalaman lebih 15 tahun, Dr Hamid memahami bagaimana isu kesihatan dan masalah sosial saling berkait rapat, lantas bertekad mahu membantu menangani kedua-duanya secara menyeluruh.

“Jika diberi peluang, saya akan memperjuangkan usaha untuk meningkatkan fleksibiliti penggunaan Medisave bagi menangani masalah kronik.

“Saya akan berjuang untuk keluarga, supaya kita mempunyai manfaat pekerjaan yang menyokong kehidupan berkeluarga yang baik. Saya juga akan berusaha bagi pekerja kita meningkatkan kemahiran diri agar mereka dapat terus menyumbang kepada keluarga masing-masing,” katanya.

Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak, berhasrat memperjuangkan dasar yang membolehkan penggunaan Medisave secara lebih fleksibel, selain mengkaji semula manfaat pekerjaan untuk menyokong kehidupan berkeluarga. Beliau berkata demikian di rapat calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk GRC West Coast-Jurong West di Stadium Jurong West pada 27 April.
Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak, berhasrat memperjuangkan dasar yang membolehkan penggunaan Medisave secara lebih fleksibel, selain mengkaji semula manfaat pekerjaan untuk menyokong kehidupan berkeluarga. Beliau berkata demikian di rapat calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk GRC West Coast-Jurong West di Stadium Jurong West pada 27 April. - Foto ST

Selain dasar yang baik, perlu juga ada program tempatan dan inisiatif dari peringkat akar umbi untuk melengkapinya, kata Dr Hamid, yang berucap dalam empat bahasa semasa rapat umum tersebut.

Namun, beliau menekankan bahawa setiap rakyat Singapura perlu memainkan peranan. Menggambarkan masyarakat sebagai sebuah hutan, beliau berkata apa yang menjadikannya istimewa adalah “setiap pokok, tinggi atau pendek, tumbuhan atau semak”.

“Begitu juga, masyarakat kita tidak boleh bergantung hanya pada dasar atau program. Ia hidup kerana kita, rakyatnya.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg