Pemerintah akan secara umum mengekalkan imbangan etnik semasa di Singapura sedang negara ini terus memelihara perpaduan sosial dan kekal terbuka, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini sedang Singapura menghadapi cabaran demografi akibat kadar kesuburan yang rendah.

Dalam Rapat Hari Kebangsaan 2026 yang disampaikan dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio pada 23 Ogos, Encik Wong menegaskan bahawa walaupun Singapura perlu terus membuka pintunya kepada pendatang baharu bagi mengelakkan kemerosotan populasi, identiti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini tidak akan sekali-kali dicairkan.

“Setiap masyarakat akan terus mempunyai tempatnya di Singapura – bahasa, budaya dan tradisinya.

“Itulah sebabnya kita akan secara umum mengekalkan keseimbangan etnik kita yang sedia ada.

“Ini telah memberi manfaat besar kepada Singapura. Dan ia terus memberi keyakinan kepada setiap masyarakat – bahawa tempat, perwakilan dan suara mereka di Singapura kekal terjamin,” kata beliau.

Encik Wong berkata jumlah kadar kesuburan (TFR) Singapura dijangka terus berada jauh di bawah paras penggantian penduduk.

Sekiranya negara ini hanya bergantung kepada kelahiran semula jadi, populasi rakyat Singapura akan mengecil manakala proses penuaan berlaku dengan jauh lebih pantas.

Keadaan ini, kata Encik Wong, bakal memberi kesan mendalam terhadap ekonomi, masyarakat, dan keupayaan untuk memastikan Singapura terus maju.

Bagi menangani jurang demografi ini, Singapura telah sekian lama menampung keperluan penduduk Singapura dengan mengalu-alukan kedatangan warga baharu.

“Ini bukanlah sesuatu yang baharu. Singapura selama ini dibentuk menerusi imigrasi. 

“Sepanjang sejarah kita, ramai orang telah datang dari pelbagai pelosok dunia, menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat Singapura, serta menjadikan negara ini rumah mereka,” kata Encik Wong.

Bagi generasi pendatang yang pertama, mereka mungkin mengambil masa untuk benar-benar menyesuaikan diri, kata Encik Wong.

Namun, bagi generasi seterusnya, Singapura adalah tanah air tempat mereka membesar – mereka menghadiri sekolah dengan warga Singapura yang lain, menjalin persahabatan seumur hidup dengan warga Singapura daripada latar belakang berbeza, dan para pemuda pula menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bersama.

Walau bagaimanapun, Encik Wong memberikan jaminan bahawa ciri masyarakat majmuk Singapura akan terus dipertahankan.

Pada masa yang sama, Singapura akan terus menguruskan saiz tenaga kerja asing, dengan melakukannya dengan cara yang teliti dan terkawal untuk melengkapi tenaga kerja tempatan dan menyokong ekonomi negara.

Dalam usaha memastikan perpaduan sosial terus terpelihara, Encik Wong menegaskan bahawa integrasi masyarakat tidak boleh berlaku secara sepihak, sebaliknya ia merupakan usaha dua hala.

Beliau menyeru agar golongan pendatang baharu membuat usaha bersungguh-sungguh untuk menyesuaikan diri, sementara rakyat Singapura pula perlu menghulurkan tangan dengan hati yang terbuka.

“Melangkah ke hadapan, lebih banyak pertumbuhan kita perlu datang daripada teknologi dan produktiviti, serta daripada usaha membolehkan setiap warga Singapura merealisasikan potensi penuh mereka.

“Pada masa sama, sedang kita kekal terbuka, warga Singapura perlu rasa bahawa Singapura yang kita kenali dan sayangi ini akan terus wujud.

“Dan saya ingin memberi jaminan bahawa sifat berbilang kaum dan berbilang agama kita akan kekal,” kata Encik Wong.