Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Tarif AS ancaman kepada keselamatan global

Kesulitan ekonomi juga boleh cetus ketegangan sosial atau masyarakat, tingkat risiko ketenteraman awam
Apr 18, 2025 | 4:11 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata jika kita meninggalkan sistem berasaskan peraturan, setiap negara perlu bergantung pada diri sendiri untuk keselamatan.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata jika kita meninggalkan sistem berasaskan peraturan, setiap negara perlu bergantung pada diri sendiri untuk keselamatan. - Foto ST

Tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat mungkin akan menimbulkan ancaman kepada keselamatan global kerana hubungan antarabangsa yang kian berubah.

Berpindah daripada sistem yang berasaskan peraturan juga bermakna setiap negara akan terpaksa bergantung pada diri sendiri untuk keselamatan, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, pada 17 April.

Ini berlaku selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan tarif yang luas terhadap rakan-rakan dagangnya pada 2 April lalu, lapor The Straits Times.

Tarif asas sebanyak 10 peratus dikenakan ke atas semua barang yang diimport ke Amerika dari seluruh dunia, termasuk Singapura. Tarif balasan yang lebih tinggi juga dikenakan ke atas sekurang-kurangnya 60 rakan dagang.

“Kita tidak tahu sama ada dunia yang kita kenal telah berakhir selama-lamanya, atau jika Encik Trump akan berubah fikiran, tetapi ini akan menjadi persekitaran yang sangat sukar dan, akhirnya, negara besar akan mula memberikan insentif dan mendirikan lebih banyak halangan kerana apabila Amerika melakukannya, negara lain juga perlu melakukannya,” kata Encik Shanmugam.

Beliau menambah bahawa Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan rakan-rakan sehaluan di negara lain sedang bekerjasama untuk menyelamatkan sistem perdagangan dunia.

“Amerika Syarikat tidak akan digantikan kerana mereka mewakili satu pertiga daripada pengguna dunia. Namun, sedikit ketertiban lebih baik daripada tiada langsung. Kami berusaha ke arah itu, seperti yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri dalam ucapan beliau,” kata Encik Shanmugam, merujuk kepada ucapan Encik Wong semasa Ceramah S. Rajaratnam ke-14 pada 16 April.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Undang-Undang, berkata demikian ketika berucap di Majlis Penghargaan Kenaikan Pangkat Pasukan Home Team di Orchard Hotel.

Lebih 380 pegawai dalam Pasukan Home Team telah diiktiraf dalam majlis itu, dengan penekanan kepada kenaikan pangkat mereka ke jawatan leftenan kolonel atau superintenden dan di atas.

Encik Shanmugam berkata beliau ingin bercakap mengenai tarif tersebut kerana impak ekonomi yang besar, yang boleh menjejas kerja agensi-agensi Pasukan Home Team termasuk Pasukan Polis Singapura dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

“Anda mesti jangkakan daya saing ekonomi mungkin terjejas. Pekerjaan kemungkinan akan hilang di seluruh dunia, termasuk Singapura, menimbulkan tekanan kewangan. Situasi ini mungkin meningkatkan jenayah,” katanya.

Kesulitan ekonomi juga boleh mencetus ketegangan sosial atau masyarakat, meningkat risiko ketenteraman awam, tambahnya.

Sementara itu, Singapura, sebagai ekonomi yang bergantung kepada perdagangan, akan terjejas lebih teruk daripada negara-negara lain.

Ini tidak hanya akan menjejas keupayaan negara untuk mewujudkan pekerjaan, tetapi juga cara pemerintah menjalankan perkhidmatan awam apabila Belanjawan terjejas.

“Kemampuan kita untuk mengutip cukai, membiayai program, mengekalkan penjagaan kesihatan, menyokong bidang sosial dan perbelanjaan awam lain. Semuanya akan terjejas. Oleh itu, terdapat implikasi yang lebih luas bagi ketertiban antarabangsa dan implikasi langsung kepada keselamatan,” kata Encik Shanmugam.

Sambil memberi ucapan kepada pegawai-pegawai pada acara itu, Encik Shanmugam menambah: “Kami boleh mempersiapkan pegawai kami untuk menghadapi cabaran yang akan datang. Dan saya tidak ragu, saya yakin sepenuhnya, pihak pengurusan juga yakin, bahawa kita akan menghadapi cabaran itu dan anda semua akan terus memimpin Pasukan Home Team dengan baik.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg