Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suara Melayu/Islam diberi perhatian dalam Kabinet baru

May 25, 2025 | 5:30 AM
c88f9503-019f-40e5-9cf0-37a4c793a051
-

Pelantikan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam adalah isyarat paling ketara pucuk pimpinan negara yang diketuai Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong mendengar dan memahami aspirasi masyarakat Melayu/Islam setempat.

Bersama dua pelantikan penjawat politik baru, iaitu Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, 44 tahun, sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar, Pembangunan Sosial dan Keluarga); serta Dr Syed Harun Alhabsyi, 40 tahun selaku Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pendidikan), masa depan atau sekurang-kurangnya rancangan peralihan kepimpinan Melayu/Islam setempat yang seterusnya turut boleh dilihat.

Mereka menyertai Menteri Negara Kanan (Pertahanan, Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad 50 tahun dan Menteri Negara (Kesihatan, Penerangan dan Pembangunan Digital) Cik Rahayu Mahzam, 45 tahun yang masing-masing berpengalaman dalam Kabinet.

Mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, 62 tahun yang masih berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, melengkapkan kumpulan kepimpinan baru ini.

Dr Faishal, yang bakal meraih ulang tahun ke-56 pada Jun ini, berserta Encik Zaqy dan Encik Masagos, masing-masing mempunyai sekitar dua dekad pengalaman dalam politik - mereka bertanding sebagai muka baru dalam Pilihan Raya Umum 2006.

Bersama, Cik Rahayu yang menceburi politik pada 2011 dan Encik Zhulkarnain, yang bakal memulakan penggal kedua sebagai Anggota Parlimen (AP) mempunyai pengalaman sekitar dua dekad dalam politik. Landasan kerjaya politik Dr Syed Harun pula, yang telah ditampilkan oleh kepimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebagai berpotensi sebagai penjawat awam semasa GE2025, baru bernula.

Ini bermakna Dr Faishal mengepalai barisan pemimpin Melayu/Islam yang menggabungkan pengalaman dengan tenaga lebih muda - penting untuk menjaga kestabilan dan pada masa yang sama boleh mengorak langkah merancang untuk masa depan dengan yakin.

Hakikat ini diperkukuh komitmen yang ditekankan Perdana Menteri, Encik Wong untuk terus bekerjasama rapat dengan penjawat politik dan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam dalam usaha mendekati masyarakat.

Encik Wong semasa sidang media ketika beliau umumkan Kabinet baru pada 21 Mei berkata usaha mendekati masyarakat Melayu/Islam adalah keutamaannya semasa penggal lalu dan akan terus menjadi keutamaannya dalam penggal baru pemerintah. Beliau juga telah berbincang dengan Encik Masagos sebelum melantik Dr Faishal sebagai pengganti Encik Masagos dalam peranan menjaga ehwal masyarakat Islam. Dalam perbincangan itu, mereka juga bersetuju sudah tiba masanya untuk memperbaharui kepimpinan Melayu/Islam dan memberi laluan kepada yang lebih muda untuk mengambil alih.

Pada masa yang sama, pelantikan Dr Faishal sebagai Pemangku Menteri, sekitar dua minggu menyusuli Hari Mengundi - dijangka menambah intensiti perhatian terhadapnya.

Beliau mengambil alih jawatan tersebut dari Encik Masagos yang menerajui pasukan PAP yang menang 52.02 peratus undi di GRC Tampines. Bahagian undi itu adalah yang paling rendah diraih PAP di kawasan undi tersebut dalam lima pilihan raya umum sejak 2006.

Kemesraan antara Dr Faishal dengan penduduknya, termasuk yang bukan Melayu/Islam diketahui ramai. Kiriman media sosial Dr Faishal dipenuhi dengan gambar dan video beliau berinteraksi dengan penduduk di kedai kopi, kadang-kala sehingga larut malam.

Melangkah ke hadapan, pendekatan yang diambil Dr Faishal mendekati masyarakat Melayu/Islam dijangka menjadi tumpuan. Ini juga selepas Encik Masagos akur cara baru untuk berbuat demikian akan dicari, sejurus selepas keputusan GE2025 diumumkan.

Tanggungjawab membentuk cara baru untuk mendekati masyarakat Melayu/Islam ini kini digalas oleh Dr Faishal.

Pada masa yang sama, tanggungjawab baru ini juga bermakna beliau perlu berusaha lebih gigih dan secara berterusan untuk mendampingi badan-badan Melayu/Islam dan pihak berkepentingan lain dalam masyarakat. Keadaan ekonomi yang tidak menentu, menambah keprihatinan rakyat mengenai kos sara hidup yang meningkat dan peluang pekerjaan stabil menambah cabaran ini.

Justeru Dr Faishal dan pasukannya perlu pantas pergiat usaha ini. Usaha MKuasaTiga (M3) untuk memperkasa masyarakat dalam pelbagai aspek seperti pendidikan, pekerjaan dan kekeluargaan sejak ia dimulakan lima tahun lalu adalah contoh terbaik kejayaan yang boleh diraih menerusi kerjasama dalam masyarakat.

Di sidang media pada 21 Mei, Dr Faishal berkata beliau akan meneruskan pendekatan kerjasama di berbilang peringkat dalam masyarakat, juga dalam usaha lain. Pendekatan ‘gotong-royong’ atau kepimpinan kolektif ini, yang bertujuan mencapai matlamat dikongsi dengan cara berkolaborasi dan bekerjasama bukan sesuatu yang baru bagi masyarakat Melayu/Islam di sini.

Dan cara Dr Faishal dapat menggembleng tenaga setiap pihak, dari penjawat politik, AP serta warga untuk bekerjasama boleh membentuk pencapaian berterusan masyarakat Melayu/Islam setempat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg