SUP ingin terus khidmat di GRC Ang Mo Kio
SUP ingin terus khidmat di GRC Ang Mo Kio
SUP ingin terus khidmat di GRC Ang Mo Kio
Parti Bersatu Singapura (SUP) akan terus berkhidmat kepada penduduk di GRC Ang Mo Kio meskipun keputusan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) mungkin tidak berpihak kepada mereka.
Dalam satu sesi bertemu penduduk berhampiran Blok 401, Fernvale Lane, pada 1 Mei, calon SUP, Encik Nigel Ng, menekankan misi parti itu untuk terus mendengar suara rakyat, khususnya mengenai kebimbangan yang kian meningkat tentang kos sara hidup.
“Selain baucar CDC (Majlis Pembangunan Masyarakat) oleh pemerintah, SUP ingin meneliti dasar-dasar lain yang boleh membantu semua rakyat Singapura,” kata Encik Ng.
Turut bersama beliau semasa sesi itu ialah calon SUP lain, termasuk Setiausaha Agung SUP, Encik Andy Zhu, dan Bendahari SUP, Cik Noraini Yunus.
Pengerusi SUP, Dr Ridhuan Chandran, dan Dr Vincent Ng, tidak hadir dalam sesi tersebut.
Bertanding dalam pertempuran tiga penjuru di GRC Ang Mo Kio, SUP bersaing dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).
Pasukan PAP di GRC Ang Mo Kio diketuai Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, bersama anggota lain, Encik Darryl David, Cik Nadia Samdin, Cik Jasmin Lau dan Encik Victor Lye.
Barisan calon PPP pula terdiri daripada Encik William Lim, Encik Martinn Ho, Encik Thaddeus Thomas, Encik Samuel Lee dan Encik Heng Zheng Dao.
Dengan wujudnya persaingan tiga penjuru itu, Encik Ng menafikan dakwaan kehadiran SUP di GRC Ang Mo Kio akan memecahbelahkan undi pembangkang.
Beliau menegaskan bahawa kehilangan deposit pilihan raya bukan satu perkara yang membimbangkan mereka.
Mereka akan tetap mendampingi anggota masyarakat tanpa mengira keputusan GE2025 pada 3 Mei.
“Wang deposit pilihan raya bukan sesuatu yang kami risaukan. Motivasi kami bukan tentang mendapatkan kembali wang tersebut.
“Malah, adalah penting bagi kami untuk tampil ke hadapan demi berkhidmat kepada masyarakat di sini,” ujar Encik Ng lagi.
Encik Ng turut merakam penghargaan kepada penduduk GRC Ang Mo Kio, atas sambutan mesra yang mereka beri sepanjang kempen GE.
“Kami mendapati ramai penduduk menantikan peluang untuk bertemu kami secara bersemuka.
“Melalui sesi turun padang di kawasan kejiranan, termasuk di pusat makanan di GRC Ang Mo Kio, kami amat terharu dengan sokongan yang diraih selama ini,” tambahnya.
Walaupun tidak dapat mengesahkan kepada Berita Harian (BH) sama ada parti itu akan bertanding dalam GE2030, pemimpin SUP, Encik Andy Zhu, berkata:
“Kami berharap semua calon yang bertanding dalam GE2025 akan terus berusaha ke arah sebuah Singapura yang lebih adil dan saksama.
“Kami komited untuk terus memperbaiki diri dan berkembang. Ini bukan kali terakhir orang ramai akan melihat parti SUP.”
Bagi GE2025, GRC Ang Mo Kio kekal sebagai Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) terbesar dengan 161,494 pengundi.
Parti SUP, yang ditubuhkan pada 2020, hanya bertanding di satu kawasan, iaitu GRC Ang Mo Kio dalam GE2025.

