Jika terdapat peluang untuk menyumbang kepada Singapura dan warganya pada wadah lebih besar, Dr Syed Harun Alhabsyi akan mempertimbangkannya secara terperinci dan berbincang bersama keluarga sebelum membuat keputusan.
Namun buat masa ini, beliau kekal mahu memberi tumpuan kepada penduduk GRC Nee Soon dan menangani isu yang mereka hadapi.
Beliau berkata demikian kepada media pada 21 April selepas diperkenalkan sebagai antara pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan bertanding di GRC Nee Soon dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, ketika memperkenalkan Dr Syed Harun sebagai calon baru di GRC Nee Soon berkata pakar psikiatri itu berpotensi menjadi pemegang jawatan politik.
“Pada pandangan saya, Dr Harun adalah seseorang yang dengan mudah boleh menjadi pemegang jawatan politik. Beliau mempunyai potensi yang baik dan boleh membuat banyak sumbangan.
“Dan saya, jika kami dilantik, akan sangat mengesyorkannya kepada Perdana Menteri (PM). Sudah tentu akhirnya ia bergantung kepada PM dan Dr Harun sendiri, tetapi saya rasa ada banyak yang beliau boleh sumbang kepada Singapura dan Yishun dalam banyak kapasiti,” kata Encik Shanmugam.
Dr Syed Harun berkata dalam beberapa minggu kebelakangan, beliau telah berpeluang menemui penduduk Nee Soon dan mengetahui isu-isu yang mereka hadapi.
Beliau menegaskan bahawa fokus utamanya bertanding dalam GE2025 adalah bagi penduduk Nee Soon.
“Bagi menyandang jawatan politik dan sebagainya, perlulah kita ambil langkah pertama mendapatkan mandat daripada masyarakat Nee Soon dan bekerjasama demi masyarakat Singapura secara amnya. Segala peluang ataupun jawatan yang mungkin diutarakan pada saya, saya akan pertimbangkannya secara terperinci, bincang bersama keluarga sebelum membuat keputusan,” katanya.
Dr Syed Harun, 40 tahun, ialah konsultan psikiatri dan pengarah perubatan di The Starfish Clinic of Psychiatry & Mental Wellness. Beliau satu-satunya pakar psikiatri Melayu/Islam di Singapura.
Cucu ustaz terkenal dan pemimpin masyarakat Allahyarham Syed Abdillah Aljufri itu memegang pelbagai jawatan kepimpinan dalam pertubuhan awam dan amal di Singapura, termasuk sebagai Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Semakan Rumah Kebajikan.
Beliau menjadi Anggota Parlimen Dilantik (NMP) pada 2023 dan melepaskan jawatan itu pada Februari 2025 sebelum tamat penggal.
“Saya berharap penduduk dapat mempertimbangkan kesungguhan saya untuk berkhidmat. Saya ikhlas dan bersungguh-sungguh mahu lakukan yang terbaik untuk Singapura dan warga Singapura.
“Ia telah menjadi cara saya menjalani kehidupan saya sebagai pelajar, doktor, pakar psikiatri, relawan masyarakat - untuk berkhidmat kepada orang lain. Jika dipilih, saya berharap dapat berkhidmat kepada keperluan penduduk saya di Nee Soon, untuk mengutarakan harapan dan aspirasi masyarakat saya serta membuat perbezaan yang membawa kesan dalam kehidupan warga Singapura,” katanya.
Jika dilantik sebagai Anggota Parlimen (AP), Dr Syed Harun mahu mengutarakan isu berhubung akses kepada pendidikan, akses kepada kemudahan kesihatan terutama kesihatan mental, dan mobiliti sosial.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg