Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tambyah tekad jadi ‘suara’ penduduk SMC Bukit Panjang jika dipilih ke Parlimen

Pengerusi SDP berpendapat parti pembangkang main peranan penting dalam pengaruhi perubahan
May 1, 2025 | 6:48 PM
Meskipun tidak mampu menggubal dasar pemerintah, Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Profesor Dr Paul Tambyah (berdiri), berkata Anggota Parlimen (AP) daripada parti pembangkang mampu mempengaruh dengan bertanyakan soalan dan membangkitkan isu-isu tertentu di Parlimen.
Meskipun tidak mampu menggubal dasar pemerintah, Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Profesor Dr Paul Tambyah (berdiri), berkata Anggota Parlimen (AP) daripada parti pembangkang mampu mempengaruh dengan bertanyakan soalan dan membangkitkan isu-isu tertentu di Parlimen. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Walaupun Anggota Parlimen (AP) daripada parti pembangkang tidak mempunyai kuasa untuk menggubal dasar pemerintah, mereka tetap memainkan peranan penting dalam mempengaruhi perubahan – dengan bertanya soalan, membangkitkan isu dan memberi tekanan agar pemerintah lebih telus.

Itulah pendekatan yang mahu diambil Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Profesor Dr Paul Tambyah, yang juga calon bagi SMC Bukit Panjang dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), sekiranya dipilih sebagai AP kawasan undi itu.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) pada 1 Mei, Dr Tambyah menjelaskan bahawa penyertaan beliau dalam arena potitik bukanlah untuk mencipta sensasi.

Sebaliknya, ia adalah untuk menjadi jambatan antara suara penduduk dengan penggubal dasar.

“Parti pembangkang lebih kecil seperti SDP tidak boleh menggubal undang-undang.

“Namun, apa yang boleh kami lakukan adalah untuk mengemukakan soalan demi memastikan menteri memberi penjelasan atas tindakan, keputusan, dan cara mereka mengurus dasar.

“Pemerintah biasanya bertindak balas terhadap pandangan orang ramai. Jika AP pembangkang mengemukakan soalan dan isu, dan media kemudian melaporkannya, pendapat orang ramai mungkin berubah, dan dasar itu juga mungkin berubah,” jelasnya.

Menurut Dr Tambyah, pendekatan mengemukakan soalan di Parlimen telah terbukti berjaya, sambil merujuk kepada AP Parti Pekerja (WP), Encik Gerald Giam, sebagai contoh.

Katanya, Encik Giam telah banyak kali membangkitkan isu berkaitan pembiayaan penjagaan kesihatan, ubat-ubatan, serta MediShield – yang akhirnya berjaya mendedahkan data penting yang sebelum ini sukar diperolehi.

“Kadangkala Encik Giam perlu bertanya soalan dua atau tiga kali, tapi akhirnya beliau akan mendapat jawapannya juga. Itulah sifat demokrasi berparlimen.

“Jadi, inilah antara perkara yang ingin saya lakukan sekiranya saya dipilih masuk Parlimen,” ujar Dr Tambyah.

Dr Tambyah, 60 tahun, seorang Perunding Kanan di Divisyen Penyakit Berjangkit Hospital Universiti Nasional (NUH), sekali lagi bertanding menentang calon Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Liang Eng Hwa, 61 tahun, untuk menjadi AP SMC Bukit Panjang.

Dr Tambyah, Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), bertanding di SMC Bukit Panjang dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Dr Tambyah, Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), bertanding di SMC Bukit Panjang dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). - Foto BH oleh KHALID BABA

Mereka bertembung buat kali pertama ketika bertanding bagi SMC Bukit Panjang dalam GE2020. Encik Liang menang dengan memperolehi 53.73 peratus undi.

Bagi Dr Tambyah, Bukit Panjang bukan sekadar medan pilihan raya, malah beliau melihatnya sebagai kawasan yang menggambarkan realiti pelbagai lapisan masyarakat Singapura.

“Bukit Panjang dibangunkan pada 1990-an, dan ia menyaksikan pemindahan penduduk dari kawasan seperti Ama Keng. Kini, terdapat juga keluarga muda yang berpindah ke sini.

“Dahulu, terdapat kampung Melayu di satu sisi, dan kampung Cina di sisi lain… sebab itu wujudnya nama stesen LRT seperti Fajar, Segar dan Bangkit, ia mencerminkan masyarakat besar yang ada di sini,” kongsinya.

Namun, di sebalik keunikan sejarah Bukit Panjang, Dr Tambyah berkata penduduknya berdepan isu sejagat seperti peningkatan kos sara hidup, perumahan dan penjagaan kesihatan, terutama bagi golongan muda dan berpendapatan rendah.

Menurutnya, isu pengangkutan turut menjadi tumpuan penduduk, termasuk pemberhentian khidmat bas 700 dan 700A yang menghubungkan Bukit Panjang ke kawasan seperti Orchard, Bras Basah dan Shenton Way.

Khidmat bas tersebut dihentikan pada 2020, mencetuskan keluhan daripada penduduk Bukit Panjang.

Tiga petisyen yang mengandungi lebih 5,000 tanda tangan telah diberikan kepada pihak berkuasa pada tahun sama.

Selain itu, Dr Tambyah menyentuh tentang isu berkenaan LRT Bukit Panjang (BPLRT) yang sudah lama mempunyai masalah.

BPLRT kini dalam program pembaharuan yang disasarkan untuk disiapkan menjelang penghujung 2026, selepas ia ditangguhkan selama dua tahun dari 2024 berikutan kekurangan tenaga kerja dan gangguan rantaian bekalan akibat pandemik Covid-19.

Semasa hari terakhir berkempen untuk GE2025 pada 1 Mei, Dr Tambyah beramah mesra dan bergambar dengan penduduk Bukit Panjang di Blok 259, Bangkit Road.
Semasa hari terakhir berkempen untuk GE2025 pada 1 Mei, Dr Tambyah beramah mesra dan bergambar dengan penduduk Bukit Panjang di Blok 259, Bangkit Road. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

“Ini antara isu yang kami akan atasi, dan untuk melakukannya, kami mahu melibatkan agensi berkaitan.

“Jadi kami akan melibatkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), dan mengundang mereka untuk mendengar maklum balas daripada penduduk,” katanya.

Dr Tambyah, yang menyandang jawatan sebagai pengerusi SDP sejak September 2017, berkata partinya membawa gagasan dasar yang menyentuh akar permasalahan keluarga berpendapatan rendah.

Beliau menyentuh isu pendapatan gaji sara hidup dan kepentingan masa bermutu bersama keluarga.

“Terdapat ibu bapa daripada keluarga berpendapatan rendah yang ‘terperangkap’ dalam pekerjaan bergaji rendah dan terpaksa mengambil dua pekerjaan.

“Oleh itu, anak-anak mereka kurang dapat perhatian, dan ini mungkin boleh menimbulkan lebih banyak masalah dalam keluarga,” jelasnya.

Nilai perjuangan dan keadilan sosial yang dipegang Dr Tambyah dibentuk sejak kecil oleh dua tokoh penting dalam hidupnya, ayah dan ibunya.

Ayahnya, mendiang Dr John Tambyah, merupakan pakar kencing manis yang terus merawat pesakit lama dari Hospital Besar Singapura (SGH) secara percuma walaupun sudah berpindah ke sektor swasta.

Ibunya pula, mendiang Cik Leaena Tambyah, merupakan aktivis gigih untuk golongan kurang upaya. Beliau pernah memperjuangkan agar kanak-kanak kurang upaya tidak diketepikan daripada pendidikan wajib.

Pada 1979, Cik Leaena mengasas sekolah untuk kanak-kanak kurang upaya pertama di Singapura, yang kini dikenali sebagai Sekolah Persatuan Kebajikan Wanita Asia (Awwa).

“Apa yang dicapai oleh ayah dan ibu saya dalam hidup mereka menjadi etos yang kuat bagi saya.

“Walaupun kami agak selesa semasa saya membesar, mereka menanamkan dalam diri saya keinginan untuk berbakti kepada masyarakat.

“Saya percaya Tuhan menjadikan sesetengah daripada kita selesa dalam hidup supaya kita bertanggungjawab terhadap kebajikan orang lain,” ujar Dr Tambyah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg