Membentangkan harapannya untuk penggal Parlimen ke-15 ini, Profesor Madya di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt Abdullah, berharap semua pihak akan “meningkatkan peranan” dan “menunjukkan kebolehan masing-masing”.
Beliau juga berharap pemerintah akan lebih terbuka kepada saranan yang diutarakan oleh pihak pembangkang walaupun terdapat perbezaan pendapat.
“Tidak semua perbezaan pendapat itu harus dianggap berpunca daripada niat yang jahat.
“Secara asasnya, kita perlu terima bahawa semua AP (Anggota Parlimen) cinta kepada negara, cuma kaedahnya berbeza. Tidak perlu menyoal motif mereka.
“Sudah tentu mereka bertanya kerana terdapat penduduk yang bertanya.
“Dan dengan penstriman Parlimen diadakan secara langsung, orang ramai boleh melihat dan menilai sendiri sama ada respons pemerintah itu adalah sesuai atau tidak.
“Justeru, saya berharap semua akan memulakan sesi Parlimen dengan rekod yang bersih (clean slate) kerana WP (Parti Pekerja) juga telah meraih sekurang-kurangnya 50 peratus undi di semua kawasan yang mereka tandingi,” kata Dr Walid.
Beliau berkata demikian di podcast No Tapis BHerbual pada 10 September, yang dihoskan bersama oleh Editor Berita, Encik Nazri Hadi Saparin dan Koresponden Berita Harian (BH), Encik Anwar Saleh.
Parlimen ke-15 Singapura dibuka pada 5 September, dengan 99 AP, termasuk dua AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), mengangkat sumpah – jumlah terbesar dalam sejarah negara.
Seramai 87 AP Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan 12 AP dan NCMP WP, sedang bersiap sedia untuk sesi perbahasan penggal baru pemerintah apabila Parlimen bersidang semula dari 22 hingga 26 September.
Ini adalah perbahasan Parlimen yang pertama dalam tempoh lebih lima bulan sejak Parlimen dibubarkan pada 15 April untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang diadakan pada 3 Mei.
Sesi tersebut juga akan menyaksikan AP bergilir-gilir membuat ucapan dan membahaskan Amanat Presiden.
Ini juga merupakan kali pertama sejak GE2020 di mana Parti Kemajuan Singapura (PSP) tidak akan diwakili di Parlimen, menjadikan WP sebagai satu-satunya parti pembangkang terbesar di Parlimen.
Setiausaha-Agung WP, Encik Pritam Singh, akan meneruskan peranannya sebagai Ketua Pembangkang (LO).
Beliau juga akan disokong sepenuhnya dengan kakitangan dan sumber yang diperlukan agar beliau dapat menjalankan tugasnya sebagai LO.
Encik Pritam dilantik sebagai LO buat pertama kali oleh mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong selepas GE2020, setelah WP memenangi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) keduanya di Sengkang.
Mengulas tentang peranan Encik Pritam pada penggal ini, memandangkan PSP tiada lagi di Parlimen, Dr Walid berharap Encik Pritam akan “lebih berani” untuk mengetengahkan isu-isu yang diutarakan oleh parti dan rakyat Singapura yang lain, bukan sahaja WP.
“Saya harap beliau (Encik Pritam) lebih berani sedikit dalam memahami beliau bukan sahaja ketua WP, beliau juga ketua pembangkang.
“Jadi, ada perkara yang sebelum ini mungkin WP tidak diketengahkan semasa PSP berada di Parlimen.
“Namun, kini WP perlu mengetengahkan isu-isu tersebut tanpa menjejaskan prinsip parti itu sendiri.
“Beliau tidak berhak mewakili parti lain kerana beliau ketua WP.
“Namun saya rasa beliau mempunyai kewajipan untuk mewakili rakyat Singapura yang lain,” kata Dr Walid.
Dr Walid berkata meskipun parti pemerintah telah meraih 65.57 peratus undi di merata Singapura, masih terdapat hampir 35 peratus rakyat yang mengundi parti pembangkang, termasuk hampir 15 peratus bagi WP.
Justeru, beliau berkata penting juga untuk WP menyuarakan keprihatinan rakyat dari kawasan yang mereka tidak tandingi atau menang, termasuk SMC Jalan Kayu, GRC Punggol dan GRC Tampines, di mana WP tewas di tangan PAP.
Dr Walid juga berharap AP Melayu pembangkang baru daripada WP seperti Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) dan Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang) akan memberikan lebih penelitian terhadap dasar pemerintah, khususnya yang membabitkan isu masyarakat Melayu.
Lebih daripada itu, beliau juga berharap Encik Fadli dan Encik Muhaimin akan menyumbang kepada perbincangan nasional seperti pekerjaan dan ekonomi, dan bukan sahaja menumpukan kepada isu-isu berkaitan masyarakat Melayu sahaja.
Berkenaan kedua-dua NCMP baru – Encik Andre Low dan Cik Eileen Chong – daripada WP, Dr Walid berkata beliau menantikan prestasi mereka di Parlimen dan berharap mereka akan mengetengahkan isu-isu yang dekat di hati masyarakat, khususnya golongan muda.
Semasa podcast yang berlangsung hampir dua jam itu, persoalan tentang peranan Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) juga dibincangkan.
Ia ditubuhkan pada 1987 oleh PAP untuk meneliti perundangan dan program yang dilakarkan oleh pelbagai kementerian.
Ia juga berfungsi sebagai saluran tambahan untuk mendapatkan maklum balas mengenai dasar pemerintah.
Ditanya sama ada GPC masih relevan dengan adanya 12 AP WP di Parlimen sekarang, Dr Walid berkata AP PAP perlu “lebih ke depan” dan bersedia memberikan penelitian, cadangan dan kritikan terhadap setiap dasar yang diberikan oleh pemerintah.
“AP tanpa jawatan politik (backbencher) perlu mengkritik dasar dan memberikan cadangan dasar baru atau mungkin memberikan pertimbangan yang lain, sama seperti pihak pembangkang.
“Mereka sebenarnya lebih sama dengan peranan pembangkang, berbanding peranan penjawat politik, meskipun mereka daripada satu parti.
“Jadi, penting untuk ingat bahawa peranan backbencher bukan untuk mencerminkan pandangan parti mereka kepada rakyat, tetapi untuk menyuarakan pandangan rakyat kepada pemerintah,” kata Dr Walid.
Dalam proses menerima kritikan daripada AP parti sendiri, Dr Walid berkata pemerintah perlu menerima bahawa kepelbagaian di dalam PAP itu sendiri adalah perkara baik untuk PAP dan juga untuk Singapura.
Beliau menukil beberapa contoh AP PAP dahulu seperti Dr Tan Cheng Bock dan juga beberapa AP Melayu yang menyoal dan mengkritik beberapa dasar pemerintah, seperti skim NCMP, GRC dan idea untuk membuka kasino di Singapura.
Dengan pembukaan penggal baru Parlimen ini, Dr Walid turut menggesa agar AP PAP dalam kalangan GPC lebih lantang menyuarakan keprihatinan rakyat dan mengkritik dasar pemerintah dengan lebih mendalam seperti generasi PAP yang dahulu.
Beliau turut berharap AP PAP akan menunjukkan prestasi dan soalan mereka di Parlimen, dan bukan sahaja bergantung kepada perbincangan belakang tabir bersama menteri atau pemerintah sebagai alasan bahawa mereka telah menyuarakan pandangan rakyat.
“Dengan lebih banyak idea yang diketengahkan, lebih baik untuk Singapura.
“Ia juga baik untuk PAP kerana jika backbencher memainkan peranan pembangkang, rakyat Singapura akan lihat bahawa mereka mungkin tidak perlu pembangkang,” kata Dr Walid.
Susulan kemenangan PAP pada GE2025, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah melantik sembilan pemegang jawatan baru dalam kalangan AP lama dan barunya, selain memberikan tanggungjawab baru kepada penjawat politik yang lain.
Penjawat politik baru yang dilantik termasuk Encik David Neo, Encik Jeffrey Siow, Encik Dinesh Vasu Dash, Cik Jasmin Lau, Encik Goh Pei Ming, Encik Desmond Choo, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, Cik Goh Hanyan dan Dr Syed Harun Alhabsyi.
Ketika ditanya sama ada penjawat politik baru akan diberi masa untuk menyesuaikan diri sebelum diminta menjawab soalan rumit di Parlimen, Dr Walid berpendapat mereka tidak akan diberikan “musim bulan madu” atau tempoh untuk berasa senang di Parlimen.
“Jika seorang penjawat politik baru diberikan ruang untuk menjawab soalan-soalan rumit, ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri dan menteri-menteri mempunyai keyakinan tinggi terhadap mereka.
“Memandangkan Parlimen kini boleh ditonton secara langsung di Internet, jika seorang penjawat politik itu belum bersedia, ia dapat dilihat menerusi klip video yang tular dan akan menjejas prestasi politik mereka di Parlimen,” kata Dr Walid.
Bagi penjawat politik, beliau berkata rakyat Singapura harus menetapkan jangkaan yang lebih tinggi kepada mereka, memandangkan Perdana Menteri telah memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menggalas peranan besar dan penting itu.
Lebih daripada itu, mereka bukan sahaja mewakili kawasan undi mereka, malah mewakili dasar yang membentuk dan memberi kesan kepada masyarakat Singapura, tambahnya.
“Setiap rakyat mempunyai hak untuk memberikan penilaian tentang penjawat-penjawat politik ini. Jadi, tidak ada masa bagi mereka untuk ‘bermula madu’ dan kita juga tidak perlu ‘memanjakan’ mereka sangat.
“Mereka semua menyertai politik dan tahu apa yang mereka akan hadapi. Jadi kita perlu meletak mereka kepada prestasi dan jangkaan yang lebih tinggi,” kata Dr Walid.
“
“Saya harap beliau (Encik Pritam) lebih berani sedikit dalam memahami beliau bukan sahaja ketua WP (Parti Pekerja), beliau juga ketua pembangkang. Jadi, ada perkara yang sebelum ini mungkin WP tidak ketengahkan semasa PSP berada di Parlimen. Namun, kini WP perlu mengetengahkan isu-isu tersebut tanpa menjejaskan prinsip parti itu sendiri. Beliau tidak berhak mewakili parti lain kerana beliau ketua WP. Namun saya rasa beliau mempunyai kewajipan untuk mewakili rakyat Singapura yang lain.”“
“AP (Anggota Parlimen) tanpa jawatan politik (backbencher) perlu mengkritik dasar dan memberikan cadangan dasar baru atau mungkin memberikan pertimbangan yang lain, sama seperti pihak pembangkang. Mereka sebenarnya lebih sama dengan peranan pembangkang, berbanding peranan penjawat politik, meskipun mereka daripada satu parti. Jadi, penting untuk ingat bahawa peranan backbencher bukan untuk mencerminkan pandangan parti mereka kepada rakyat, tetapi untuk menyuarakan pandangan rakyat kepada pemerintah.”“
“Jika seorang penjawat politik baru diberikan ruang untuk menjawab soalan-soalan rumit, ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri dan menteri-menteri mempunyai keyakinan tinggi terhadap mereka. Memandangkan Parlimen kini boleh ditonton secara langsung di Internet, jika seorang penjawat politik itu belum bersedia, ia dapat dilihat menerusi klip video yang tular dan akan menjejas prestasi politik mereka di Parlimen.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg