Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WP janji bekerja keras untuk GRC Sengkang di Parlimen

May 4, 2025 | 2:10 AM
WP, GE2025, Sengkang, menang
Pasukan Parti Pekerja (WP) yang memenangi GRC Sengkang terdiri daripada Encik Louis Chua, Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim serta muka baru, iaitu Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik. - Foto ST

Pasukan Parti Pekerja (WP) mempertahankan GRC Sengkang dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) dengan 56.31 peratus undi, menewaskan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Pasukan WP terdiri daripada Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim dan Encik Louis Chua, serta seorang muka baru iaitu Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik.

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pula terdiri daripada mantan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kesihatan), Dr Lam Pin Min; dan tiga muka baru iaitu Cik Theodora Lai, Profesor Madya Dr Elmie Nekmat dan Cik Bernadette Giam.

GRC Sengkang dibentuk pada 2020 dan dimenangi WP dalam pilihan raya pada tahun sama dengan 52.12 peratus undian.

Keputusan itu menjadikan Sengkang GRC kedua yang jatuh ke tangan pembangkang sejak sistem itu diperkenalkan pada 1988.

Pengamat politik sebelum ini memberitahu Berita Minggu bahawa pasukan WP mungkin mempunyai kelebihan sebagai penyandang, didorong oleh kerja baik yang telah dilakukan Anggota Parlimen (AP) di GRC itu serta prestasi mereka di Parlimen.

Peletakan jawatan salah seorang anggota pasukan WP yang menang pada GE2020, Cik Raeesah Khan, pada 2021 selepas mengaku berbohong kepada Parlimen, bagaimanapun dikhuatiri membawa kesan ke atas keputusan undi.

Kemenangan tipis yang dinikmati WP semasa GE2020 turut bermakna keputusan pilihan raya kali ini boleh berpihak kepada mana-mana parti yang dapat meraih kepercayaan lebih ramai pengundi, kata pengamat.

Bagi GE2025, pasukan WP mengisi tempat yang dikosongkan Cik Raeesah dengan Encik Abdul Muhaimin, yang telah menghadiri pelbagai acara kemasyarakatan melibatkan AP Sengkang sejak 2023.

Baki tiga anggota pasukan itu dikekalkan daripada GE2020.

Dalam ucapannya di Stadium Serangoon selepas keputusan rasmi diumumkan, Encik Abdul Muhaimin mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan penduduk GRC Sengkang terhadap WP.

“Kami akan terus bekerja keras untuk anda di Sengkang dan di Parlimen.

“Kami tidak akan sia-siakan peluang ini.

“Kami akan terus bekerja untuk Sengkang dan untuk Singapura,” katanya.

Sementara itu bagi pasukan PAP, cuma Dr Lam merupakan anggota pasukan yang bertanding bagi GE2020.

Tiga muka baru menggantikan menteri Kabinet ketika itu, Encik Ng Chee Meng; Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri dan Kesihatan), Encik Amrin Amin; dan peguam Encik Raymond Lye.

Dr Elmie mengucapkan tahniah kepada pasukan WP dan berkata PAP tidak akan berputus asa di kawasan undi itu.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada aktivis dan sukarelawan kami kerana menunjukkan daya tahan bukan sahaja selama sembilan hari, bahkan selama lima tahun.

“Terima kasih kepada Dr Lam atas segala bimbingan, kasih sayang dan kepercayaan dan saya tidak akan berputus asa untuk berjuang untuk Sengkang. PAP tidak akan berputus asa,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg