“Kami merujuk kepada kenyataan bersama yang dikeluarkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada 25 April 2025 berhubung Arahan Penurunan Iklan Pilihan Raya Asing Dalam Talian, serta laporan media terkini berkaitan calon-calon Melayu/Islam kami.
Sebagai peserta dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), calon-calon Parti Pekerja (WP) memohon sokongan daripada semua rakyat Singapura di kawasan yang mereka tandingi.
WP tidak boleh mengawal tindakan pihak asing yang menyatakan sokongan terhadap calon kami. Sebarang dakwaan sedemikian adalah sama sekali tidak tepat.
Kedua, terdapat beberapa laporan dalam media yang merujuk kepada sebuah pertemuan melibatkan beberapa calon Melayu/Islam kami dengan seorang guru agama warga Singapura, Encik Noor Deros.
Dalam menjalankan kerja politik kami, WP bertemu dengan anggota masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama – tanpa mengira bangsa atau agama.
Para pemimpin agama daripada pelbagai kepercayaan mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza tentang kehidupan di Singapura.
Dalam satu pertemuan bersama pemimpin-pemimpin agama yang turut dihadiri Encik Noor Deros, WP mengesahkan bahawa tiada sebarang janji, komitmen atau persetujuan telah dibuat kepada mana-mana individu, termasuk Encik Noor Deros, sebagai balasan untuk mendapatkan sokongan politik bagi calon-calon WP.
Di Singapura, prinsip memisahkan agama dan politik telah lama dibangunkan. Komitmen WP terhadap prinsip ini telah diketahui umum.
Semasa perbahasan mengenai Rang Undang-undang Pengekalan Keharmonian Kaum (Pindaan) di Parlimen, Encik Faisal Manap menegaskan:
“Agama perlu dipisahkan, atau dijauhkan daripada politik supaya agama tidak digunakan untuk kepentingan peribadi atau untuk manfaat mana-mana parti politik.”
Encik Pritam Singh menambah:
“Anggota Parlimen perlu mewakili kepentingan semua anggota masyarakat, bukan hanya anggota masyarakat mereka sendiri, dan mesti berhati-hati dalam memasukkan (elemen) agama ke dalam politik.”
WP komited untuk memupuk pemahaman yang lebih mendalam antara masyarakat yang pelbagai di Singapura, serta mendorong dasar yang memberi manfaat kepada Singapura dan, yang lebih penting, kepada semua rakyat Singapura.
Kami kekal teguh dalam komitmen untuk mengekalkan (prinsip) masyarakat sekular, pelbagai kaum, dan pelbagai agama di Singapura, serta melindungi integriti proses pilihan raya kami.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg