Anggota Parlimen (AP) Melayu dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP) bukan sekadar pemerhati pasif, malah pejuang bersuara lantang yang sentiasa berusaha menangani keperluan mendesak dan jangka panjang masyarakat Melayu/Islam, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, pada 1 Mei.
Turut berucap dalam rapat PAP GRC Punggol yang diadakan di Sekolah Menengah Yusof Ishak, Encik Zaqy menekankan bahawa AP Melayu PAP secara konsisten membangkitkan isu penting masyarakat – sama ada berkaitan isu antarabangsa sensitif seperti Gaza atau isu domestik seperti pekerjaan, pendidikan dan sokongan sosial.
Paling utama, mereka memastikan keprihatinan itu menjadi tindakan nyata dan hasil yang boleh dirasai oleh masyarakat, katanya.
Encik Zaqy, yang juga calon PAP di GRC Marsiling-Yew Tee, berkata:
“Bagi kami, keprihatinan tersebut diterjemahkan kepada tindakan. Kami berdiri atas prinsip tindakan.”
Mengenai perbahasan isu Gaza di Parlimen, beliau berkata seramai enam AP Melayu PAP telah bersuara dan mengemukakan kebimbangan masyarakat.
Tambahan, sebanyak 15 soalan Parlimen mengenai isu Palestin turut diajukan AP di Parlimen, ujarnya.
Namun, bukan hanya isu sensitif yang diberi perhatian, malah isu yang dekat di hati masyarakat seperti pendidikan anak-anak, pembangunan tenaga kerja Melayu, sokongan kepada asatizah, keluarga rentan, pencegahan dadah, pengurusan zakat, dan pemantapan pentadbiran agama turut menjadi tumpuan utama.
Encik Zaqy berkata: “Ini penting bagi masyarakat Melayu.
“Inilah perjuangan yang benar-benar menyentuh kehidupan seharian masyarakat kita.
“Kami mahu melangkah ke hadapan dengan visi lebih besar untuk membina masyarakat Melayu/Islam yang yakin, berjaya dan bersatu.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg