Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: Firdaus Daud galas peranan baharu sebagai penasihat M³+@Geylang Serai
Peguam, Encik Ahmad Firdaus Daud, akan menggalas peranan baharu sebagai Penasihat M³+@Geylang Serai, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad dalam satu hantaran Instagram pada 1 September.
Sebelum ini, Encik Ahmad Firdaus, 42 tahun merupakan penasihat kedua bagi pertubuhan akar umbi di Punggol susulan Pilihan Raya Umum (GE) 2025 di bawah Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.
Beliau juga pernah menggalas peranan sebagai penasihat M³+@Punggol dan naib pengerusi cawangan Punggol North Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Dalam hantaran Instagram itu juga, Encik Zaqy berkata Ketua Portfolio di Hilleman Laboratories, Dr Erlyani Hamid, akan mengambil alih peranan sebagai Penasihat M³+@Punggol.
Encik Zaqy berkata Encik Firdaus dan Dr Erlyani telah mencurahkan banyak masa dan tenaga kepada M³+@Punggol, bekerjasama dengan para sukarelawan dan rakan kongsi untuk berkhidmat kepada penduduk.
Menyentuh tentang Dr Erlyani, Encik Zaqy berkongsi bahawa beliau sudah tidak asing lagi di Punggol, setelah pernah berkhidmat sebagai naib pengerusi di M³+@Punggol dan anggota Majlis Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
“Saya juga pernah bekerjasama dengan beliau melalui rangkaian karyawan Mendaki, di mana saya melihat sendiri bagaimana beliau menyatukan orang ramai dan mewujudkan peluang untuk orang lain menyumbang,” katanya.
Pelantikan baharu itu menyusuli laporan awal yang menyatakan Encik Firdaus, juga mengambil alih tanggungjawab di akar umbi Kembangan yang sebelum ini disandang oleh mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Ini disahkan Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng kepada Berita Harian (BH) pada 28 Ogos, yang berkata Encik Firdaus akan menggalas peranan baru sebagai penasihat kedua pertubuhan akar umbi kawasan undi itu.
Encik Seah, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, berkata Encik Firdaus dijangka memainkan peranan yang sangat aktif di Kembangan.
“Penasihat yang lain akan terus menyokong beliau, pemimpin akar umbi dan penduduk Kembangan yang lain,” tambah beliau.
Encik Seah berkata peranan Encik Firdaus “akan berkembang” pada masa hadapan, sambil menambah bahawa beliau akan terus memberi lebih perhatian dan bekerjasama dengan Encik Firdaus untuk berkhidmat kepada penduduk sebaik mungkin.
Dalam hantaran Instagram itu lagi, Encik Zaqy turut mengucapkan terima kasih kepada Encik Firdaus dan Dr Erlyani kerana terus tampil menyumbang khidmat kepada masyarakat.
“Saya berharap lebih ramai penduduk akan melibatkan diri dalam M³+@Towns, berkongsi idea mereka dan membantu kami membentuk program yang memenuhi keperluan masyarakat,” ujar beliau.
