Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: Komited bantu penduduk hadapi isu kos sara hidup

Apr 12, 2025 | 6:56 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kanan), dan tiga Anggota Parlimen lain GRC Marsiling Yew-Tee – (dari kiri) Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Cik Hany Soh – bakal bertanding di kawasan undi itu bagi GE2025.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kanan), dan tiga Anggota Parlimen lain GRC Marsiling Yew-Tee – (dari kiri) Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Cik Hany Soh – bakal bertanding di kawasan undi itu bagi GE2025. - Foto ST

Bakal kembali bertanding sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Marsiling-Yew Tee bagi Pilihan Raya Umum (GE) 2025, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkata beliau dan pasukannya komited menggiatkan usaha membantu penduduk, lebih-lebih lagi mereka yang berpendapatan rendah, menangani isu kos sara hidup.

Bercakap semasa sidang media pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bakal bertanding di kawasan undi itu bagi Pilihan Raya Umum (GE) 2025 pada 12 April, Encik Zaqy berkata ini termasuk menerusi skim bantuan sosial yang diperkenal di kawasan undi tersebut seperti inisiatif ‘Tawaran MY $1’ dan Marsiling Cares.

“Contohnya bagi penduduk Marsiling, yang mempunyai jumlah besar isi rumah yang berpendapatan rendah, usaha seperti ini boleh menjadi satu sumber sokongan yang penting buat mereka,” ujarnya.

Encik Zaqy menyertai politik pada 2006 dan telah berkhidmat di GRC Marsiling-Yew Tee sejak Julai 2020.

Sebelum itu, beliau berkhidmat di GRC Hong Kah dari April 2006 hingga April 2011, dan di GRC Chua Chu Kang dari Mei 2011 hingga Jun 2020.

Menyentuh tentang kebimbangan lain yang timbul dalam kalangan penduduk seperti pekerjaan di tengah-tengah landskap dunia yang tidak menentu sekarang, Encik Zaqy menarik perhatian pentingnya kepimpinan yang teguh.

“Walaupun sekitaran kita mungkin tak sempurna, tapi kami harap rakyat dapat memilih pasukan yang boleh dipercayai.

“Saya juga berharap rakyat dan penduduk Marsiling-Yew Tee akan memberi kepercayaan kepada kami untuk memimpin dan membina masa depan kita bersama,” katanya.

Mengulas tentang sesetengah pihak pembangkang yang mendakwa bahawa pemerintah menakut-nakutkan warga Singapura tentang ketidaktentuan yang dihadapi dunia sekarang, Encik Zaqy berkata beliau tidak memandang ringan situasi ini.

“Kita boleh baca berita, data dan statistik.

“Saya rasa senang bahawa rakyat Singapura turut prihatin dan bagi pemerintah, adalah penting kami kekal dekati mereka, berasas dan menjalankan program di peringkat nasional dan masyarakat. Kita harus bersiap sedia,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg