Pengundi di GRC Marsiling-Yew Tee bakal menentukan bukan sahaja hala tuju kawasan undi mereka, malah berpeluang menyuarakan sokongan terhadap kepimpinan negara, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media dalam sesi bertemu wartawan pada Hari Penamaan Calon di Maktab Rendah Jurong-Pioneer pada 23 April.
Apabila ditanya tentang keyakinan pasukannya yang lebih berpengalaman berbanding pencabar mereka, Encik Zaqy berkata keputusan akhirnya terletak di tangan penduduk.
“Ini tertakluk kepada penduduk kita... saya berharap mereka akan terus memberi sokongan mereka.
“Dan kita berharap bahawa penduduk kita, warga GRC Marsiling-Yew Tee juga memberi sokongan yang teguh kepada perdana menteri kerana... (ia) juga adalah satu sokongan bagi Singapura juga,” kongsi beliau.
Encik Zaqy merupakan sebahagian daripada pasukan empat anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang membuat penampilan pertama dalam pilihan raya sebagai perdana menteri dan Setiausaha Agung PAP.
Anggota lain ialah Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh.
Encik Wong akan memimpin pasukan itu untuk mempertahankan GRC Marsiling-Yew Tee daripada pencabar daripada pasukan Parti Demokratik Singapura (SDP) dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) ini.
Anggota SDP pula termasuk pengasas laman web berita alternatif, ‘Wake Up, Singapore’ (WUSG), Encik Ariffin Iskandar Sha Ali Akbar, 27 tahun; Setiausaha Penganjur SDP, Encik Jufri Salim, 42 tahun; pengarah teater, Encik Alec Tok, 60 tahun; dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Gulf Oil China, Cik Gigene Wong, 59 tahun.
Dalam semakan sempadan terbaru, GRC Marsiling-Yew Tee kekal tanpa perubahan dengan 119,352 pengundi berdaftar.
Apabila ditanya sama ada strategi mereka berbeza berbanding GE sebelum ini, calon SDP, Encik Ariffin Sha, berkata bertanding menentang perdana menteri kali ini memerlukan kempen yang lebih fokus dan berteraskan dasar.
“Berbanding GE2015 dan GE2020, kali ini kami berdepan dengan perdana menteri. Oleh itu, mesej kami sangat tertumpu pada dasar-dasar dan manifesto kami.
“Jadi, kami akan jalankan kempen yang bersih. Kami akan berjuang dengan gigih dan kami akan tumpukan pada dasar-dasar kami. Pada akhirnya, kami serahkan kepada penduduk untuk membuat keputusan,” tambah beliau.
Ini memandangkan SDP telah bertanding di GRC tersebut sejak ia ditubuhkan pada 2015 dan ini merupakan kali ketiga mereka bertanding di situ.
Pada GE2020, pasukan PAP yang sama telah memperoleh 63.18 peratus undi, mengalahkan pasukan daripada SDP yang dianggotai oleh Encik Damanhuri Abas, Encik Lim Boon Heng, Encik Khung Wai Yeen dan Encik Benjamin Pwee.
Sementara itu, setiausaha penganjur SDP, Encik Jufri Salim, berkata sentimen positif penduduk Marsiling-Yew Tee yang mereka temui tampak konsisten sepanjang pasukan itu turun padang, dan mereka turut berpeluang mengetahui isi hati penduduk.
Beliau turut menekankan bahawa manifesto mereka memberi tumpuan kepada isu seperti kos sara hidup, perumahan dan kesihatan, yang merupakan kebimbangan utama dalam kalangan penduduk Marsiling-Yew Tee.
Di samping itu, Encik Zaqy menekankan bahawa pelan induk lima tahun mereka bagi estet tersebut telah menunjukkan peningkatan ketara, seperti Pelan Induk Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee.
“Jadi, dalam pelan lima tahun yang akan datang, kami melihat akan perkembangan Marsiling-Yew Tee dan kami berharap kami dapat teruskan kerja ini jika kami kembali ke Parlimen,” kongsi beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg