Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zhulkarnain: Imbangi peranan pemimpin Melayu dan nasional bukan satu beban, tapi kekuatan

Jan 1, 2026 | 5:00 AM
Singapore, Zhulkarnain Abdul Rahim
Encik Zhulkarnain Abdul Rahim percaya pemimpin Melayu/Islam boleh menjadi jambatan yang menyatukan, bukan sekadar mewakili satu masyarakat. - Foto fail

Dalam masyarakat majmuk Singapura, peranan pemimpin Melayu/Islam sering menjadi bahan perbincangan – adakah mereka memikul beban berganda, atau memiliki kekuatan unik yang boleh menyumbang kepada negara?

Bagi Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, jawapannya jelas.

“Saya tak rasa ini satu beban... sebaliknya ia adalah satu kekuatan.”

Menurut Encik Zhulkarnain, seorang pemimpin Melayu/Islam dilantik untuk mewakili semua rakyat, namun pada masa yang sama tidak boleh menanggalkan jati diri dan nilai yang membentuk dirinya.

“Kita tak boleh lupakan apa yang membawa kita ke peringkat ini,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa identiti Melayu/Islam bukan sesuatu yang eksklusif, sebaliknya boleh membawa nilai sejagat seperti keadilan, empati dan tanggungjawab sosial.

“Nilai Melayu dan Islam itu merangkumi semua. Nilai-nilainya boleh difahami dan dikongsi oleh semua bangsa,” kata beliau.

Encik Zhukarnain, 45 tahun, memulakan tugasnya sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) pada 1 Januari, sekali gus mengakhiri kerjaya beliau di sektor swasta sebagai peguam di firma, Dentons Rodyk.

Bapa empat orang anak itu adalah antara barisan pemimpin baru yang diberi jawatan politik selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada Mei 2025.

Beliau memulakan tugasnya lebih lewat kerana perlu menyelesaikan urusannya di Dentons Rodyk.

Seorang lagi pemimpin politik Melayu yang terpilih dalam GE2025 dan diberi jawatan pemerintah ialah Dr Syed Harun Alhabsyi, yang dilantik Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara).

Beliau memulakan tugasnya pada Oktober 2025.

Sementara itu, mengulas portfolio Menteri yang mengurus hal ehwal masyarakat Islam, Encik Zhulkarnain berpandangan isu tersebut tidak boleh diletakkan di bahu seorang individu sahaja.

“Ini bukan tanggungjawab seorang menteri sahaja, bahkan pasukan AP (Anggota Parlimen) Melayu/Islam, malah seluruh Kabinet dan pemerintah,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada kedudukan Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Singapura, termasuk kewujudan undang-undang khusus seperti Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla).

Menurutnya, ini menunjukkan pengiktirafan negara terhadap kepentingan agama dan jati diri masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Dalam masa yang sama, beliau menekankan kepentingan mencari persamaan dalam masyarakat, bukan membesarkan perbezaan.

“Soalan tentang keseimbangan itu sebenarnya salah.

“Yang kita perlu cari ialah persamaan,” katanya.

Bagi beliau, pendekatan ini penting dalam menyatukan masyarakat pascapilihan raya, terutama ketika pelbagai pandangan dan keprihatinan wujud dalam kalangan rakyat.

Namun, beliau menekankan isu yang membimbangkan masyarakat Melayu juga sering dikongsi oleh masyarakat lain seperti pekerjaan, perumahan dan kos sara hidup.

Justeru, Encik Zhulkarnain percaya pemimpin Melayu/Islam boleh menjadi jambatan yang menyatukan, bukan sekadar wakil sebuah masyarakat.

Bagi beliau, kekuatan sebenar Singapura terletak pada keupayaan rakyatnya untuk bergerak sebagai satu pasukan – berbeza latar belakang, tetapi berkongsi nilai dan masa depan yang sama.

“Ini negara kita bersama. Kalau bukan kita yang menjaga dan membinanya bersama, siapa lagi?” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg