Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang sepatutnya dilantik sebagai Menteri Negara pada 1 Februari 2026, kini akan dilantik lebih awal pada 1 Januari 2026.
Pejabat Perdana Menteri (PMO), dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 5 Disember, berkata perubahan tarikh pelantikan itu dibuat kerana Encik Zhulkarnain telah “melaksanakan kewajipan profesionalnya lebih awal daripada yang dijadualkan pada mulanya”.
“Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dijadualkan dilantik sebagai Menteri Negara di Kementerian Ehwal Luar dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga berkuat kuasa 1 Februari 2026.
“Pelantikan ini akan berkuat kuasa lebih awal pada 1 Januari 2026, kerana beliau telah melaksanakan tanggungjawab profesionalnya lebih awal daripada yang dijadualkan,” kata kenyataan itu.
Encik Zhulkarnain merupakan rakan kongsi kanan dalam kumpulan amalan Litigasi dan Penyelesaian Pertikaian serta Timbang Tara Dentons Rodyk.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Encik Zhulkarnain berkata beliau agak gementar tetapi berharap dapat menyertai pemerintah dan menyumbang menjelang Belanjawan dan Jawatankuasa Perbekalan (COS) 2026.
Beliau menambah bahawa beliau juga telah menghadiri sesi perkenalan atau ‘onboarding’ dan menjalani taklimat sebagai persediaan untuk pelantikan barunya itu.
“Saya berbesar hati dan rendah diri. Saya sedar bahawa ini adalah komitmen yang serius, bukan sahaja untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik, tetapi juga untuk memenuhi amanah yang diberikan kepada saya.
“Saya berbohong jika saya kata saya tidak sedikit gementar kerana taruhannya lebih tinggi apabila anda tahu keputusan anda mempengaruhi kehidupan sebenar.
“Tetapi lebih daripada sekadar gementar, saya merasakan tanggungjawab tugas, dan tekad untuk melakukan yang terbaik,” kata Encik Zhulkarnain.
Beliau menambah Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, serta menteri-menteri di kementerian berkaitan telah menyokong beliau mengambil peranan itu lebih awal supaya beliau dapat menyumbang lebih awal.
Apabila ditanya tentang keutamaan segeranya, AP penggal kedua itu berkata beliau akan menumpukan lebih banyak masanya untuk memahami secara mendalam portfolio dasar yang akan dikendalikannya.
Pelantikannya sebagai Menteri Negara pertama kali diumumkan oleh Encik Wong pada 21 Mei semasa mengumumkan Kabinet barunya susulan kemenangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Pada hari tersebut, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim turut dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).
Pada Ogos, Dr Faishal turut mengumumkan bahawa Encik Zhulkarnain akan menerajui Bidang Tumpuan Pertama (FA1) M3 yang menyokong keluarga melalui perkahwinan dan pembangunan awal kanak-kanak.
Sejak mengambil alih portfolio itu dari Dr Faishal, Encik Zhulkarnain berkata beliau telah aktif mendekati pelbagai kumpulan, termasuk Kadi dan Naib Kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).
“Keutamaan segera saya adalah untuk memahami secara mendalam portfolio dasar yang akan saya kendalikan, terutamanya aspek sosial dan keluarga, dan ehwal luar negara.
“Saya juga akan berinteraksi dengan masyarakat, terutamanya kumpulan demografi yang kebimbangannya akan saya wakili untuk memahami keperluan, kebimbangan dan harapan mereka,” kata Encik Zhulkarnain.
Selain peranannya sebagai Menteri Negara, Encik Zhulkarnain juga menggalas peranan sebagai Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) sejak 1 Julai, menggantikan Encik Mohd Fahmi Aliman, yang menyandang jawatan itu sejak 2023.
Sebelum ini, PM Wong, semasa berucap dalam bahasa Melayu dalam upacara mengangkat sumpah bagi Kabinet baru di Istana pada 23 Mei, berkata mendekati masyarakat Melayu/Islam adalah keutamaan baginya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pemerintah akan terus mengeratkan hubungan dan bekerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam untuk merealisasikan wawasan masyarakat gemilang.
Selain Encik Zhulkarnain, antara penjawat politik Melayu baru dalam Kabinet PM Wong termasuk AP GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, yang dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) mulai 1 Oktober.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg