Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zhulkarnain lapor individu didakwa sebar berita palsu tentang keluarganya

Kenyataan guru tuisyen itu dikatakan tidak profesional kerana dedahkan kelemahan bahasa secara terbuka
Apr 24, 2025 | 12:57 PM
Encik Zhulkarnain Abdul Rahim akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengguna media sosial yang didakwa menyebar berita palsu tentang keluarganya.
Encik Zhulkarnain Abdul Rahim akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengguna media sosial yang didakwa menyebar berita palsu tentang keluarganya. - Foto fail

Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Chua Chua Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, telah membuat laporan polis dan mendapatkan nasihat guaman terhadap pengguna media sosial yang didakwa menyebar berita palsu tentang keluarganya.

Pada 24 April, seorang pengguna Threads Instagram @wn.shafika atau nama yang disiarkan sebagai Wan Shafika tu mendakwa dalam satu hantaran bahawa pada awal 2025, beliau memberi tuisyen bahasa Melayu kepada anak perempuan, yang bapanya seorang Anggota Parlimen parti pemerintah yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Calon yang dirujuk pengguna Threads itu dikatakan menganggotai sebuah ‘lembaga bahasa Melayu’, dan anaknya didakwa ‘tidak boleh menyusun ayat dalam bahasa Melayu’.

Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Encik Zhulkarnain berkata beliau telah mendapatkan nasihat guaman dan peguamnya sudah membuat aduan kepada polis pada 24 April mengenai hantaran yang didakwa palsu dan fitnah terhadap keluarganya.

“Oleh kerana isu ini dalam siasatan, saya tidak dapat memberi komen selanjutnya. Saya kekal komited menambat hati dan minda penduduk Chua Chu Kang semasa kempen ini,” katanya dalam hantaran terbaru di Instagram.

Dalam responsnya di media sosial sebelum ini, Encik Zhulkarnain, yang juga pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, berkata guru tuisyen berkenaan nampaknya tersalah orang dan membuat dakwaan palsu terhadap beliau dan anaknya.

Bapa empat anak itu berkata anak-anaknya tidak mengambil sebarang tuisyen dalam bahasa Melayu selama dua tahun kebelakangan ini.

“Sebagai seseorang yang dikatakan pendidik, apa yang anda nyatakan amat tidak sesuai dan tidak profesional, iaitu mendedahkan kelemahan bahasa seorang kanak-kanak secara terbuka dengan tujuan memalukan kededua kanak-kanak dan bapanya.

“Tolong jaga adab dan jangan menyerang keluarga dan privasi orang lain secara terbuka,” kata Encik Zhulkarnain dalam hantarannya di Threads@Instagram, yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Menganggap dakwaan itu sebagai melibatkan nama baiknya dan keluarganya, Encik Zhulkarnain berkata beliau akan membuat laporan kepada pihak berkuasa dan mengambil tindakan undang-undang.

“Kepada semua yang membaca: kita di tengah-tengah Pilihan Raya Umum. Kita mungkin tidak mempunyai kecenderungan politik atau ideologi yang sama, tetapi kita harus menunjukkan adab yang asas dan rasa hormat kepada semua dalam wacana dan tingkah laku kita,” kata Encik Zhulkarnain.

Encik Zhulkarnain, 44 tahun, menganggotai pasukan yang dipimpin Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, 60 tahun, dan dua muka baru di GRC Chua Chu Kang iaitu Encik Jeffrey Siow, 46 tahun, dan Dr Choo Pei Ling, 38 tahun.

PAP akan menentang pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP), yang diwakili Encik S. Nallakaruppan, 60 tahun, Cik Wendy Low, 48 tahun, Encik Lawrence Pek, 55 tahun, dan Encik A’bas Kasmani, 71 tahun.

Komen-komen yang ditinggalkan oleh pembaca dalam hantaran itu juga menasihati pengguna itu agar menurunkan hantaran itu sebelum terlambat.

Antara komen yang ditinggalkan adalah daripada guru-guru yang turut terkesan dengan kata-kata yang bertujuan ‘menjatuhkan’ seseorang.

Pengguna @futuristfergo menulis: “Saya terdorong untuk membalas bukan hanya sebagai bekas pendidik tetapi sebagai seseorang yang sangat percaya dengan tanggungjawab yang kami pikul dalam membentuk minda dan arah tuju moral generasi akan datang.

“Guru memainkan peranan penting dalam memupuk anak-anak kita semasa kita memimpin, menjaga dan memberi inspirasi kepada generasi muda Singapura yang akan datang. Kami mempunyai pengaruh yang mendalam dan berkekalan terhadap kehidupan pelajar yang kami ajar.”

BH telah cuba menghubungi @wn.shafika tetapi tidak mendapat sebarang respons.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg