Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pope Francis gesa anak muda berani berdialog silang agama, bina masyarakat bersama

Lawatan tiga hari pemimpin Kota Vatican ke S’pura tamat dengan Pertemuan Silang Agama bersama belia
Sep 13, 2024 | 8:25 PM
Paus (Pope) Francis (tengah) menyiapkan lukisan batik pada 13 September di Maktab Rendah Katolik (CJC) sebelum menghadiri sesi pertemuan bersama golongan muda. Batik tersebut memberi erti keharmonian kaum dan agama di Singapura setelah ia diusahakan bersama kakitangan dan pelajar CJC.
Paus (Pope) Francis (tengah) menyiapkan lukisan batik pada 13 September di Maktab Rendah Katolik (CJC) sebelum menghadiri sesi pertemuan bersama golongan muda. Batik tersebut memberi erti keharmonian kaum dan agama di Singapura setelah ia diusahakan bersama kakitangan dan pelajar CJC. - Foto ST

Golongan muda harus tampil dan tekadkan keberanian untuk berdialog silang agama sebagai langkah membina masyarakat bersaudara, kata pemimpin Kota Vatican, Paus (Pope) Francis.

Ini lebih-lebih lagi apabila golongan lain, termasuk golongan muda, tidak mudah untuk menerima komitmen ini atau menganggapnya sebagai penting, tambahnya.

Berucap dalam bahasa Italy pada 13 September di Maktab Rendah Katolik (CJC), Paus Francis berkata:

“Memberi komitmen untuk memupuk hubungan baik antara agama berbeza bukanlah selalunya mudah… ia memerlukan keberanian hebat untuk menyayangi satu sama lain, terutamanya mereka yang berbeza dengan cara pemikiran atau latar belakang, budaya atau tradisi agama.”

Ucapannya itu diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris oleh penterjemah kepada hadirin.

Ketua Gereja Katolik berusia 87 tahun itu membuat kenyataan tersebut semasa berucap kepada hadirin dalam Pertemuan Silang Agama bersama Golongan Muda di CJC sempena hari terakhir rangka lawatan tiga hari beliau ke Singapura.

Lebih 600 hadirin – terdiri daripada pelajar sekolah, pemimpin agama termasuk Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dan wakil pertubuhan antara agama, antara lain – menghadiri pertemuan tersebut.

Ia dianjurkan bersama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Keuskupan Agung Katolik Singapura.

Beliau menambah bahawa golongan muda juga seharusnya tidak perlu takut untuk bersuara dan melakar hala tuju sendiri sambil berwaspada terhadap bahaya media sosial.

Ini di kala sudah pasti adanya pengkritik terhadap usaha dialog atau melakar sesuatu hala tuju itu, ujarnya.

Golongan muda, tambah beliau, seharusnya menjadi pengkritik tetapi ia harus dilakukan dengan cara yang membangun.

“Adakah anda mempunyai keberanian untuk mengkritik tetapi dalam masa yang sama, ada keberanian untuk membenarkan diri anda untuk dikritik?

“Jika anda mengkritik orang lain, mereka juga boleh mengkritik anda. Dan inilah cara untuk mengendalikan dialog yang ikhlas dalam kalangan golongan muda,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab perkongsian ketua penyelaras sayap belia Pertubuhan Antara Agama (IRO), Encik Shukul Raaj Kumar – salah seorang daripada tiga pemimpin belia yang berkongsi pengalaman memupuk dialog silang agama di Singapura dengan Paus Francis.

Encik Raaj menyentuh berkenaan pengkritik usaha dialog silang agama, seperti sesi pertemuan ini – yang turut dihadiri Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.

Encik Tong memberi penekanan terhadap nilai-nilai berpengaruh dalam membina perpaduan bagi masyarakat majmuk Singapura dalam ucapannya.

Sementara itu, dalam respons kepada Berita Harian (BH), Pejabat Mufti menyatakan Paus Francis merupakan pendokong utama terhadap kewujudan bersama secara aman, perpaduan sosial dan juga persefahaman dan dialog antara agama.

“Beliau memberi inspirasi kepada belia kita dalam dialog untuk mengatasi kebimbangan dan cabaran serta mengambil risiko melaksanakan usaha yang semakin mencabar, terutamanya dalam konteks cabaran global dari segi polarisasi dan perpecahan” tambah kenyataan itu.

Ia turut menyatakan bahawa acara sebegini mempamerkan “kepelbagaian agama yang rancak lagi padu” di Singapura, dengan pemimpin segenap lapisan agama hadir.

Sebelum menghadiri pertemuan yang diadakan sekitar 10 pagi, Paus Francis meluangkan masa memberi sentuhan terakhir kepada lukisan batik dan mengunjungi pameran Perpaduan dan Harapan – tema bagi lawatan beliau di Singapura – di CJC.

Awal dari itu, beliau singgah di rumah jagaan warga emas St. Theresa’s Home sekitar 9 pagi untuk menyantuni penduduknya.

Beliau berlepas pulang ke tanah air dari terminal VIP Lapangan Terbang Changi sekitar 11.50 pagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg