Sebuah Portal Pekerjaan dan Kemahiran baru telah dilancar untuk membantu pencari kerja mencari jenis kemahiran dan peralatan yang sesuai dan diperlukan oleh pekerjaan atau industri yang mereka minati.
Dibangunkan bersama oleh SkillsFuture Singapura (SSG) dan GovTech, portal tersebut dilancarkan oleh Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, pada 22 Januari, dan merangkumi ciri-ciri seperti kemahiran keutamaan serta keperluan pekerjaan yang diperlukan.
Berucap di acara tersebut yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands, Cik Gan berkata portal itu akan berfungsi sebagai sebuah pusat sehenti bagi individu dan syarikat untuk mengakses maklumat, sumber dan peralatan kemahiran pekerjaan.
“Kami menyediakan papan pemuka yang boleh berfungsi sebagai alat perancangan untuk individu menilai mobiliti kerjaya mereka dan juga meneroka laluan kemahiran bagi memadankan sebaik mungkin kemahiran mereka dalam mengakses pekerjaan yang mereka minati.
“Syarikat juga boleh memantau bagaimana kemahiran dan peralatan yang diperlukan oleh pekerjaan telah berkembang dari semasa ke semasa, yang boleh memaklumkan perancangan organisasi dan tenaga kerja mereka.
“Para profesional HR (sumber manusia) juga akan mendapati maklumat ini berguna bagi membimbing strategi syarikat mengenai pertumbuhan tenaga manusia dan latihan,” kata Cik Gan.
Portal Pekerjaan dan Kemahiran baru itu akan merangkumi enam papan pemuka dan boleh diakses melalui laman https://jobsandskills.skillsfuture.gov.sg/.
Melalui portal tersebut, individu boleh menggunakan data daripada papan pemuka dalam pelbagai cara untuk mendapatkan cerapan yang diperibadikan tentang pekerjaan dan laluan kerjaya.
Dalam satu papan pemuka di portal itu, SSG telah menyusun senarai lebih daripada 5,000 aplikasi dan peralatan untuk memberikan gambaran yang lebih lengkap tentang ciri-ciri yang diperlukan oleh pekerjaan, di samping kemahiran.
Antara 20 aplikasi dan peralatan teratas bagi 2023 terdiri terutamanya dalam peralatan produktiviti, bahasa pengaturcaraan dan perisian yang direka untuk mengurus data, proses dan projek.
Di bawah papan pemuka Keperluan Pekerjaan, pengguna juga boleh melihat kemahiran, aplikasi dan peralatan yang diperlukan untuk peranan pekerjaaan.
Papan pemuka Kemahiran Keutamaan membolehkan pengguna melihat kemahiran yang diperlukan mengikut keutamaan dan jika kemahiran tersebut boleh dipindahkan.
Semasa acara itu, Cik Gan turut melancarkan edisi keempat Laporan Permintaan Kemahiran untuk Ekonomi Masa Hadapan SSG.
Laporan terkini merangkumi ciri tentang kemahiran kreatif – merujuk kepada kemahiran yang memerlukan pemikiran inovatif dan keupayaan untuk menjana idea atau konsep asli.
Ia menunjukkan bahawa 40 kemahiran kreatif seperti penciptaan dan pembangunan reka bentuk, serta pengurusan jenama, telah menjadi lebih mudah dipindah milik sejak 2019.
Ini menunjukkan bahawa lebih banyak peranan pekerjaan yang inginkan kemahiran sedemikian.
Laporan itu juga menunjukkan bahawa 70 peratus karyawan dalam peranan pekerjaan “bukan kreatif” juga memerlukan kemahiran kreatif untuk bekerja.
Pekerjaan ini mungkin dalam bidang seperti teknologi maklumat (IT), kejuruteraan dan pembangunan perniagaan.
Sebagai contoh, pembangun perisian perlu memahami reka bentuk untuk membuat aplikasi yang mesra pengguna, dan selain daripada hanya menguruskan dapur, pengurus restoran juga memerlukan kemahiran penjenamaan untuk menarik pelanggan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg