Portal sehenti yang dilengkapi dengan garis panduan dan sumber mengenai tabiat bijak guna skrin adalah bermanfaat bagi membantu ibu bapa menguruskan masa skrin anak-anak dengan berkesan, kongsi ibu bapa yang ditemui Berita Harian (BH).

Portal sehenti Be Screen Smart merupakan sebahagian daripada gerakan nasional baharu ‘Bijak Guna Skrin dari Kecil’ yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 31 Mei.

Ia menyatukan sumber daripada pelbagai agensi pemerintah demi membantu ibu bapa menguruskan kegiatan digital anak mereka.

Antara mereka yang menyambut baik portal itu ialah Encik Muhammad Shahril Hassan, 38 tahun, bapa kepada dua anak lelaki berusia lapan dan enam tahun.

Ketika ditemui di Karnival Keluarga Festival Keluarga Nasional di Singapore Expo pada 31 Mei, Encik Shahril, yang bertugas dalam bidang teknologi maklumat berkongsi bahawa ada kalanya ibu bapa terlalu sibuk dengan komitmen lain sehingga sukar mencari panduan mengenai tabiat digital yang sihat.

Oleh itu, portal itu amat berguna untuk menyatukan semua sumber seperti tip membina tabiat digital yang sihat dan cadangan aktiviti tanpa skrin, demi menjimatkan masa ibu bapa.

“Kami sangat sibuk dengan pekerjaan harian, di samping tanggungjawab menjaga ibu bapa dan juga anak-anak.

“Oleh itu, sebarang masa yang dapat kami jimatkan daripada mencari sumber dalam talian boleh disalurkan dengan lebih baik untuk perkara lain.

“Portal sehenti ini membantu menyatukan kesemua sumber tersebut, dan ia mendorong saya melakukan yang lebih baik (untuk mengurus masa skrin anak), selain memberikan panduan yang sangat jelas tentang bagaimana saya boleh menangani cabaran demikian,” kata Encik Shahril.

Antara langkah yang diambil Encik Shahril untuk mengurus masa skrin anaknya ialah dengan mengehadkan penggunaan peranti kepada satu jam setiap hari daripada dua jam setiap hari sebelumnya.

Pengurangan itu dilakukan setelah beliau mempelajari melalui sumber pemerintah bahawa masa skrin yang sesuai bagi kanak-kanak dalam lingkungan usia di bawah tujuh tahun adalah kurang daripada dua jam.

Meskipun akur bahawa ibu bapa tidak dapat mengelak daripada mendedahkan anak kepada masa skrin, Encik Shahril hanya membenarkan masa skrin untuk tugasan sekolah dan kandungan berunsur pendidikan di aplikasi YouTube Kids, yang menyaring kandungan sesuai bagi kanak-kanak.

Selain beliau, bekas penjaga gawang negara, Hassan Sunny, 42 tahun, turut akur bahawa pihak sekolah memerlukan pelajar untuk berada dalam talian bagi menghabiskan tugas sekolah atau berinteraksi sesama pelajar dan guru.

Namun, bapa kepada empat anak perempuan berusia antara empat hingga 15 tahun itu memastikan agar masa skrin yang berlebihan dikurangkan dengan melakukan kegiatan bersukan bersama.

Langkah demikian membolehkan beliau mengeratkan hubungan kekeluargaan di samping memastikan anak-anaknya kekal cergas bersama.

“Kadangkala selepas makan malam saya akan mengajak anak-anak saya berjalan di sekitar estet perumahan.

“Setelah pulang dari latihan, meskipun penat, saya pastikan saya meluangkan masa dan melakukan senaman ringan bersama mereka jika saya lihat mereka menonton TV atau menggunakan peranti digital,” kongsi Hassan.