Bersempena sambutan 60 tahun kemerdekaan Singapura (SG60) serta sambutan ulang tahun ke-30 Lembaga Perpustakaan Negara Singapura (NLB), sebuah portal dwibahasa baru yang menampilkan tokoh-tokoh Melayu terkemuka Singapura telah dilancarkan pada 11 Oktober.
Portal Tokoh-Tokoh Melayu Singapura atau Prominent Malays of Singapore (PMoS) itu mengandungi kandungan berwibawa tentang sumbangan dan impak mereka kepada negara.
Portal dalam talian itu, yang boleh dibaca dalam bahasa Melayu dan Inggeris, mengisahkan kehidupan lebih 100 orang Melayu terkemuka yang telah membentuk sejarah dan warisan Singapura sepanjang enam dekad.
Antaranya termasuk Presiden wanita pertama Singapura, Puan Halimah Yacob; Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak; legenda bola sepak, Fandi Ahmad; serta ikon seni seperti Allahyarhamha Nona Asiah dan Allahyarham Sarkasi Said.
Catatan yang dipamerkan di portal tersebut terdiri daripada imej, bahan audiovisual dan rujukan silang, lantas membolehkan pengguna meneroka sumber NLB dengan lebih lanjut.
PMoS merupakan tambahan kepada sumber Melayu sedia ada di NLB, lantas melengkapi koleksi khas ‘Dunia Melayu’ yang menampilkan buku Inggeris, Cina dan Tamil mengenai topik berkaitan seni dan kebudayaan, di samping karya kesusasteraan penulis Melayu Singapura.
Disokong oleh rakan kongsi utama termasuk Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura dan akhbar Berita Harian, tokoh-tokoh Melayu terkemuka dipaparkan dalam sepuluh kategori berbeza: Seni, Komuniti, Pendidikan, Politik, Agama, Sukan, Perundangan, Kesihatan, Kerajaan, dan Perniagaan.
Sempena pelancaran portal itu, pameran bergerak akan diadakan di enam perpustakaan serata Singapura sepanjang 18 bulan akan datang mulai pertengahan Oktober hingga Mac 2027.
Demikian jadual pameran bergerak itu:
– Perpustakaan Awam Bedok (Oktober 2025 hingga Januari 2026)
– Perpustakaan Daerah Woodlands (Januari 2026 hingga Mac 2026)
– Perpustakaan Daerah Tampines (April 2026 hingga Mei 2026)
– Perpustakaan Daerah Jurong (Jun 2026 hingga Ogos 2026)
– Perpustakaan Negara, Tingkat 9 Promenade (September 2026 hingga Oktober 2026)
– Perpustakaan Awam Central (November 2026)
– Perpustakaan Daerah Punggol (Disember 2026 hingga Mac 2027)
Memandangkan projek PMoS diterajui masyarakat dan bersifat kolaboratif, orang ramai diundang agar menyumbang maklumat tambahan atau kemas kini yang boleh dikirim menerusi borang maklum balas bagi semakan editorial, sebelum ia ditambah ke portal tersebut.
Orang ramai boleh membaca tentang kehidupan dan legasi tokoh Melayu berpengaruh di Singapura melalui pautan, https://go.gov.sg/nlb-pmos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg