Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PPIS bimbing penghuni rumah peralihan guna peluang kedua sebaiknya

Mar 14, 2025 | 5:30 AM
Rumah Peralihan Rise Above menyediakan sekitaran selamat bagi bekas pesalah wanita untuk menimba kemahiran baru bagi membantu mereka berintegrasi semula dalam masyarakat.
Rumah Peralihan Rise Above menyediakan sekitaran selamat bagi bekas pesalah wanita untuk menimba kemahiran baru bagi membantu mereka berintegrasi semula dalam masyarakat. - Foto PERSATUAN PEMUDI ISLAM SINGAPURA (PPIS)

Ihsan Ramadan merupakan kempen tahunan anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) yang bertujuan menyokong pelbagai program dan perkhidmatan kemasyarakatan.

Selari dengan temanya pada 2025 iaitu, ‘Sinari Impian’, salah satu daya usaha yang menerima manfaat daripada kempen ini ialah kemudahan kediaman di Rise Above Halfway House (Rise Above), yang memainkan peranan penting dalam membantu Cik Khadijah (bukan nama sebenar) melalui proses pemulihan dan penyesuaian semula ke dalam masyarakat.

Rise Above merupakan rumah peralihan sekular khusus untuk wanita di Singapura.

Ia merupakan sebahagian daripada program kerjasama dengan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) yang merangkumi proses penyesuaian semula ke dalam masyarakat, latihan kemahiran, penempatan semula pekerjaan, serta pemulihan hubungan kekeluargaan.

Setelah menamatkan program selama enam bulan pada 2024, Cik Khadijah kini lebih terbuka untuk berkongsi cabaran yang pernah dihadapinya, dan menunjukkan keupayaan yang lebih kuat dalam menangani kesukaran tersebut.

Kini, beliau lebih peka terhadap persekitarannya, sentiasa berwaspada terhadap apa yang berlaku di sekeliling, dan berupaya mengekalkan ketenangan walaupun berdepan keadaan mencabar.

Menerusi program di Rise Above, Cik Khadijah berjaya membina sikap berdikari yang lebih kukuh, belajar bergantung pada dirinya sendiri serta mengurus pelbagai keadaan dengan keyakinan yang lebih tinggi.

Berkongsi perkembangan positif yang telah dilaluinya, Cik Khadijah berkata: “Saya amat menghargai kebaikan di sebalik setiap sumbangan yang menyokong program Rise Above.

“Ia telah memberikan saya peluang kedua membina semula kehidupan dan mempererat semula hubungan dengan keluarga.”

Kempen Ihsan Ramadan ini bertujuan memperkasa individu agar dapat mencapai hasrat mereka, serta mengharungi cabaran dan kesukaran hidup melalui pelbagai program dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PPIS.

PPIS mengalu-alukan sokongan masyarakat dalam membantunya mengumpulkan $500,000 untuk kempen ini agar ia dapat terus melaksanakan program dan perkhidmatan masyarakatnya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau menghulur sumbangan, sila kunjungi laman web, www.ppis.sg/pir.

Tentang PPIS

Ditubuhkan pada 1952, PPIS merupakan pertubuhan perkhidmatan sosial yang memberi tumpuan dalam menawarkan khidmat kepada wanita, keluarga dan kanak-kanak.

PPIS melaksanakan tiga teras perkhidmatan masyarakat: Perkhidmatan Keluarga, Penjagaan Pelajar, dan Kemudahan Kediaman.

Dengan 11 pusat di serata Singapura, perkhidmatan ini menyediakan sokongan yang bermutu dan holistik.

Program pembangunan untuk kaum wanita dan keluarga merentasi pelbagai fasa kehidupan.

PPIS membantu lebih 34,000 benefisiari pada 2024, melalui kerja kes (casework), kaunseling, terapi keluarga, asuhan dan keperluan pendidikan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg