PR bekas pelakon dibatal atas kesalahan seksual, diusir selepas dijel
PR bekas pelakon dibatal atas kesalahan seksual, diusir selepas dijel
Bekas pelakon, Ian Fang, akan diusir dari Singapura dan dilarang masuk semula ke negara ini selepas selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan seksual.
Lelaki berusia 35 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 40 bulan pada Mei 2025 selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan tindakan seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.
Lima tuduhan lain, termasuk kesalahan seksual terhadap gadis bawah umur, gangguan serta menghalang keadilan, turut diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Dia mula menjalani hukuman penjara pada 16 Jun 2025.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), jurucakap Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata status Penduduk Tetap (PR) individu yang disabit kesalahan akan disemak.
ICA membatalkan status PR Fang pada 5 Februari dan memaklumkan bahawa dia akan diusir serta dilarang memasuki semula Singapura.
Fang berasal dari Shanghai, China dan memperoleh status PR pada 2015.
Dia kali pertama bertemu mangsa di satu acara hiburan pada Mei 2024.
Identiti mangsa tidak boleh didedahkan berikutan perintah mahkamah.
Fang menjalin hubungan rapat dengan remaja itu dan melakukan hubungan seks dengannya beberapa kali antara Jun dengan Julai 2024.
Kes terbongkar selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada Ogos 2024.
Mahkamah dimaklumkan mangsa mengalami kemurungan dan pemikiran membunuh diri, sebelum dimasukkan ke Institut Kesihatan Mental (IMH) dan disahkan mengalami masalah penyesuaian.

