Topik diikuti
Pergi ke BHkuPramugari SIA pakai kasut tertutup baharu mulai Januari
Pramugari SIA pakai kasut tertutup baharu mulai Januari
Ikon ‘Singapore Girl’ atau pramugari Singapura tidak lama lagi akan memakai kasut baharu mulai Januari 2027, apabila Singapore Airlines (SIA) bersedia menghentikan sandal klasiknya yang terbuka secara berperingkat.
SIA, menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), mengesahkan pada 8 Oktober bahawa kasut baharu buat kru kabin wanita akan diperkenalkan secara berperingkat.
“Ini berikutan semakan untuk meningkatkan keselamatan, keselesaan dan sokongan, di samping memenuhi keperluan operasi,” kata jurucakap SIA.
Gambar kasut baharu itu mula tersebar dalam talian minggu lalu, menurut akhbar berbahasa Cina, Lianhe Zaobao.
Kasut baharu itu direka bersama jenama kasut tempatan PAZZION, dengan reka bentuk ‘wedge’ bertutup. Ia diperbuat daripada kulit tulen dengan lapik dalam kulit biri-biri yang tebal untuk kusyen yang lebih baik, kata jurucakap SIA.
Cetakan batik ciri khas SIA turut diterapkan pada reka bentuk itu, dengan variasi warna yang sepadan dengan sarung kebaya mengikut pangkat setiap anggota kru. Contohnya, merah burgundi untuk Pengurus Kabin (Inflight Manager).
Reka bentuk ‘wedge’ bertutup itu juga meningkatkan keselamatan kerana melindungi pramugari daripada tumpahan dan objek jatuh ketika bertugas di kabin, jelas jurucakap itu.
Beliau menambah bahawa syarikat penerbangan itu bekerjasama rapat dengan pramugari dan PAZZION sepanjang proses reka bentuk.
“Pelbagai prototaip diuji dalam penerbangan sebelum reka bentuk dimuktamadkan,” ujar jurucakap itu.
Sandal terbuka asal, yang mempunyai corak batik pada tali dan tumit, telah lama menjadi sebahagian penting daripada jenama dan identiti ‘Singapore Girl’ SIA.
Direka oleh pereka fesyen dari Paris, Pierre Balmain, sandal itu terkenal kerana membiarkan kuku kaki pramugari yang dicat merah kelihatan.
Sejak bertahun-tahun, hanya sedikit perubahan dibuat pada pakaian seragam sarung kebaya SIA, yang diolah Balmain untuk syarikat penerbangan itu pada 1974.
Balmain mereka sarung kebaya itu untuk Malaysia-Singapore Airlines (MSA) pada 1968, sebelum SIA berpisah daripada MSA.
Pada 2001, SIA memperkenalkan kasut baharu buat pramugari untuk meningkatkan keselamatan penerbangan. Ini berlaku beberapa bulan selepas nahas SQ006 di Taiwan pada Oktober 2000, yang meragut 83 nyawa.
Kasut ‘slingback’ bertutup itu, yang turut direka Balmain, mempunyai gancu (buckle) kromium pada tali di buku lali. Penutup jari kaki di bahagian depan, diperbuat daripada poliuretana (polyurethane), melindungi jari dan kaki.
Ketika itu, pramugari yang terlibat dalam nahas tersebut berkata sandal terbuka mereka tercabut daripada kaki, memaksa mereka berjalan tanpa kasut melalui serpihan yang terbakar di landasan.
Jurucakap SIA ketika itu menafikan bahawa kasut baharu itu berkaitan dengan nahas tersebut, dan berkata proses semakan untuk kasut itu sudah bermula dua tahun sebelumnya.
Sejak itu, pramugari memakai ‘slingback’ bertutup semasa berlepas dan mendarat, kemudian bertukar kepada sandal terbuka biasa mereka sepanjang baki penerbangan.
Dengan kasut terkini, mereka tidak lagi perlu bertukar antara dua jenis kasut. Mulai Januari 2027, mereka akan memakai kasut ‘wedge’ bertutup baharu untuk semua fasa penerbangan.
SIA berkata perubahan itu membantu “meningkatkan aspek praktikal dan konsistensi”.
SIA menambah bahawa tiada perubahan pada kasut kru kabin lelaki, yang akan terus memakai kasut kulit hitam.