Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prasyarat kesihatan penting demi keselamatan jemaah haji

Oct 24, 2025 | 8:14 PM
Amtas, GSA, peraturan Saudi perketat syarat kesihatan jemaah, Muis
Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) serta beberapa ejen penjualan (GSA) pakej haji mengalu-alukan prasyarat baru yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi demi menjaga keselamatan jemaah semasa menunaikan ibadah haji. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kriteria kesihatan yang ditetapkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi warga Singapura yang berhasrat menunaikan ibadah haji penting demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan jemaah.

Ini memandangkan persekitaran serta perjalanan yang perlu dihadapi sepanjang ibadah haji agak mencabar dan memerlukan daya fizikal dan bukan hanya persediaan mental dan kewangan.

Demikian menurut Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), ejen penjualan (GSA) pakej haji serta bakal jemaah yang bercakap dengan Berita Harian (BH) yang turut mengalu-alukan langkah tersebut.

Mulai musim haji 2026, semua jemaah haji dari Singapura perlu mendapatkan sijil kesihatan dari doktor yang mengesahkan bahawa mereka bebas daripada penyakit kronik sebelum menunaikan haji.

Ini susulan penetapan kriteria terkini oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi awal Oktober, di mana semua bakal jemaah mesti disahkan tidak mengalami penyakit kronik, tidak terdiri daripada wanita hamil dalam trimester terakhir, dan tidak berkerusi roda.

Mereka yang dihubungi turut mengalu-alukan fatwa baru yang membolehkan jemaah yang menghidap penyakit kronik melaksanakan badal haji atau mewakilkan seseorang untuk menunaikan ibadah haji bagi pihak mereka.

Setiausaha Kehormat Amtas, Ustazah Juyda Noor Mohamad, berkata persatuan tersebut “sangat mengalu-alukan” prasyarat baru agar jemaah mendapat sijil kesihatan kerana ia adalah sebahagian usaha menjaga kebajikan jemaah itu sendiri.

“Prasyarat yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi ini sangat dialu-alukan kerana perjalanan ibadah haji ini sangat berat dan ia memerlukan jemaah tersebut untuk berada 100 peratus dalam kesihatan yang baik.

“Menunaikan ibadah haji bukan sahaja memerlukan kesediaan kewangan dan persiapan mental, malah ia juga memerlukan kesihatan yang baik,” kata Ustazah Juyda.

Semasa ditemui media pada 24 Oktober, Pengurus Besar Halijah Travels Pte Ltd, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkongsi pengalaman beberapa jemaah yang menghidap penyakit ginjal dan memerlukan bantuan kerusi roda yang menghadapi kesukaran semasa menunaikan ibadah haji.

Menurutnya, memandangkan anggota jemaah tersebut perlu menjalani rawatan dialisis sekurang-kurangnya sekali setiap dua hari, agak mencabar untuk beliau bergerak secara berkumpulan.

Selain itu, disebabkan kekurangan tenaga kerja di Arab Saudi dan juga sekatan untuk memasuki kawasan Arafah dan Mina, GSA juga tidak dapat membantu anggota jemaah yang berkerusi roda.

“Dulu, kita gunakan tenaga kerja di sana. Kita bayar mereka untuk khidmat (bantu jemaah berkerusi roda) tapi sekarang dengan peraturan yang semakin ketat, tak semudah dulu.

“Walaupun kita bersimpati dengan jemaah yang memerlukan khidmat tambahan ini, tapi keadaan di sana tidak mengizinkan,” kata Encik Haffidz.

Semasa sidang media pada 24 Oktober, Muis berkata jemaah yang bergantung sepenuhnya pada kerusi roda atau alat mobiliti lain, atau perlu dibantu secara berterusan untuk bergerak, tidak akan dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji.

Syarat-syarat lain yang menyebabkan seseorang tidak layak menunaikan ibadah haji juga termasuk kegagalan organ utama seperti penyakit buah pinggang yang memerlukan dialisis dan penyakit pulmonari kronik yang memerlukan bantuan oksigen.

Jemaah yang menghidap penyakit neurologi atau psikiatri yang teruk yang menjejas kognitif ketara juga tidak layak menunaikan ibadah haji.

Warga emas yang mengalami demensia, wanita hamil dalam trimester terakhir, serta wanita yang mengalami kehamilan berisiko tinggi pada mana-mana peringkat, juga akan tidak akan dibenarkan.

Mereka yang menghidap penyakit berjangkit seperti tuberkulosis, serta pesakit barah yang perlu menjalani kemoterapi atau rawatan intensif juga tidak akan dibenarkan untuk menunaikan haji.

Bagaimanapun, mereka yang menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi atau kolesterol tinggi masih layak menunaikan ibadah haji sekiranya mereka boleh mendapatkan sijil kesihatan.

Pengarah TM Fouzy Travel and Tours Pte Ltd, Ustazah Tengku Madihah Fathiyyatul Fauziyyah Tengku Mohamad Fouzy Jumat berkata prasyarat itu bukan perkara baru dan pernah dilaksanakan oleh negara-negara jiran.

“Saya berharap bakal jemaah menerima berita ini dengan berlapang dada dan kita bersabar… tiada jaminan semua yang pergi itu semuanya sihat-sihat sahaja.

“Kami sedia membantu dan tetap akan menyediakan dan memberikan bantuan yang sepatutnya kepada mereka yang memerlukan,” kata Ustazah Tengku Madihah.

Pada 24 Oktober juga, satu fatwa baru turut dikeluarkan yang menyatakan bahawa mereka yang mempunyai penyakit yang tidak mungkin pulih, boleh melantik wakil untuk menunaikan badal haji, selaras dengan peraturan haji yang dikenakan oleh pihak berkuasa.

Jika mereka tidak dapat menunaikan haji melalui wakil walaupun telah berusaha sedaya upaya, fatwa tersebut menyatakan bahawa kewajiban untuk menunaikan haji akan ditarik, selaras dengan prinsip Islam untuk mengelakkan kemudaratan dan kesulitan.

Mengulas tentang fatwa baru itu, Ustazah Juyda berkata: “Fatwa ini sangat baik kerana ini adalah satu pendekatan yang baik.

“Sekiranya jemaah boleh bersabar, menerima fatwa ini dengan hati yang terbuka, dan menerima prasyarat kesihatan baru ini dengan lapang dada, insya-Allah akan dipermudahkan nanti urusan hajinya”.

Cik Norsiah Idris, 60 tahun, yang sedang menanti gilirannya untuk menunaikan ibadah haji sejak 2017, berkata beliau bimbang sekiranya penyakit yang lebih memudaratkan akan menimpa jika warga emas tidak mendapat keutamaan untuk menjalankan ibadah tersebut.

“Buat masa ini, alhamdulillah saya masih sihat. Tapi kalau semakin lambat dapat giliran, nanti pula semakin banyak penyakit dan tak dapat surat pengesahan dari doktor.

“Kalau boleh percepatkan untuk warga emas, lebih baik. Kita pun tak nak lihat bahawa yang muda dan sihat sahaja yang boleh menunaikan ibadah haji,” kata Cik Norsiah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg