Meningkatkan had usia maksimum bagi Skim Perlindungan Tanggungan (DPS) menjangkau usia 65 tahun akan menyebabkan harga premium untuk melonjak.
Peningkatan harga itu disebabkan oleh kadar kematian yang lebih tinggi selepas usia 65 tahun dan kemudiannya akan mengurangkan simpanan mereka untuk persaraan, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, pada 15 Oktober.
Dr Tan berkata demikian bagi menjawab soalan Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang), mengenai kemungkinan untuk meningkatkan had umur bagi DPS daripada had semasa iaitu 65 tahun, di sidang Parlimen.
Berkongsi lanjut, beliau berkata sehingga 2024, seramai 94,500 atau 33 peratus pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF), berusia antara 65 tahun dengan 67 tahun, masih bekerja.
“Kami sentiasa mengkaji semula DPS bagi memastikan ia kekal relevan kepada pencarum.
“Pada 2021, kami meningkatkan perlindungan usia maksimum DPS daripada 60 kepada 65.
“Dalam mengambil keputusan ini, kami berusaha untuk mencapai keseimbangan antara menyediakan perlindungan insurans untuk tanggungan pencarum bagi tempoh yang lebih lama, dengan memastikan simpanan persaraan pencarum mencukupi,” ujar Dr Tan.
Beliau menambah bahawa dalam kalangan pencarum yang perlindungan DPS mereka telah luput, kira-kira 75 peratus berusia lebih 55 tahun.
Ramai di antara mereka tidak lagi bekerja, atau sebelumnya bekerja sendiri dan tidak mempunyai caruman dalam Akaun Biasa (OA) yang boleh digunakan untuk membayar premium DPS.
Namun menurut Dr Tan, bagi pencarum dengan perlindungan DPS yang telah luput setakat 31 Disember 2022, sekitar 40 peratus telah memperbaharui perlindungan mereka setakat 31 Disember 2024.
“Apa yang kami cuba lakukan adalah untuk memastikan skim ini dapat melibatkan seramai mungkin pencarum, jika boleh, tetapi tidak mungkin dapat merangkumi setiap seorang daripada mereka,” kata Dr Tan.
Secara berasingan, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata ia tidak menemui sebarang kes Pembantu Rumah Hijrahan (MDW) menghadapi masalah undang-undang semasa mendapatkan bantuan kesihatan mental.
Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang, berkata demikian sebagai respons kepada Dr Hamid Razak (GRC West Coast-Jurong West).
Dr Hamid mengutarakan soalan mengenai bilangan MDW yang telah mendapatkan rawatan untuk keadaan kesihatan mental atau menghadapi isu undang-undang semasa mendapatkan rawatan untuk penyakit itu.
“Jika terdapat sebarang syak wasangka bahawa MDW mempunyai masalah kesihatan mental, doktor yang merawat mereka ketika itu boleh mencadangkan penilaian lanjut, tetapi dengan kos tambahan,” kata Encik Huang.
Beliau mengulas bahawa antara 2022 dengan 2024, setiap tahun, kurang daripada 20 MDW mendapatkan bantuan perubatan di institusi penjagaan kesihatan awam, poliklinik dan klinik doktor swasta (GP) atas sebab kesihatan mental.
Hak undang-undang MDW untuk mengakses rawatan perubatan, termasuk untuk keadaan kesihatan mental, dilindungi di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing yang memerlukan majikan untuk menampung perbelanjaan perubatan MDW mereka, termasuk untuk rawatan kesihatan mental.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg