Presiden Tharman Shanmugaratnam akan membuat Lawatan Negara ke Mesir dari 19 hingga 22 September, atas jemputan Presiden Abdel Fattah Al Sisi.
Tuan Presiden juga akan bertemu Encik Al Sisi, yang akan menganjurkan Majlis Jamuan Negara bagi menghormatinya, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 18 September.
“Ini adalah Lawatan Negara pertama Tuan Presiden ke Timur Tengah dan Afrika Utara, dan akan mengesahkan hubungan lama Singapura dengan Mesir.
“Tuan Presiden akan diberikan Majlis Aluan Negara di Istana Al-Ittihadiya di Kahirah,” kata MFA.
Semasa lawatan empat harinya itu, Tuan Presiden juga akan bertemu Perdana Menteri Mesir, Dr Mostafa Madbouly, dan merasmikan pembukaan Forum Perniagaan Singapura-Mesir.
Beliau juga akan bertemu secara berasingan dengan Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed Al-Tayyeb dan Pope Tawadros II.
“Tuan Presiden juga akan melawat ibu pejabat Bulan Sabit Merah Mesir dan Zon Ekonomi Terusan Suez, dan bertemu masyarakat Singapura di sebuah majlis sambutan bagi memperingati SG60,” kata MFA.
Semasa lawatannya, Tuan Presiden akan diiringi Puan Jane Ittogi, bersama para pegawai daripada pelbagai kementerian, lembaga berkanun dan delegasi perniagaan dari Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).
Turut bersama dalam lawatan itu adalah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How.
Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, dan AP GRC Sembawang, Encik Ng Shi Xuan, akan turut serta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg