Presiden Tharman Shanmugaratnam bertemu dengan Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Shah, dari 25 hingga 26 Ogos, dan melahirkan penghargaannya atas layanan mesra Sultan Nazrin serta perbincangan bermakna sepanjang tempoh itu.
Kedua-duanya hadir sebagai Canselor, masing-masing bagi Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Malaya (UM).
Pertemuan yang diadakan di Royal Perak Golf Club, Perak itu sempena seminar dan kejohanan golf yang dianjurkan bersama kedua-dua universiti – yang pertama sejak 1968.
Menulis di Facebooknya pada 26 Ogos, Tuan Presiden berkata kedua-dua universiti itu bermula daripada asal usul yang sama 120 tahun lalu melalui penubuhan Kolej Perubatan King Edward Ketujuh dan sering berkait rapat apabila Universiti Malaya ditubuhkan di Singapura pada 1949.
“Kini, hubungan antara fakulti dengan pelajar sedang diperkukuh semula.
“Kedua-dua pihak pasti akan meraih manfaat, bukan sahaja dalam pembelajaran, bahkan juga melalui persahabatan yang akan terus bermakna pada tahun-tahun mendatang,” tulisnya.
Tuan Presiden menambah, beliau dan Sultan Nazrin sudah lama mengenali satu sama lain, dan hubungan itu hanya dapat diperkukuh melalui pertemuan yang kerap.
Beliau menghargai layanan mesra yang diberikan Sultan Nazrin dan isteri, Tuanku Zara Salim, kepada beliau dan isteri, Puan Jane Ittogi, serta delegasi NUS.
Ini termasuk menjamu hidangan istimewa Ipoh seperti sajian popular gerai penjaja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg