Topik diikuti
Pergi ke BHkuPresiden Tharman buat lawatan negara pertama ke M’sia
Presiden Tharman buat lawatan negara pertama ke M’sia
Presiden Tharman buat lawatan negara pertama ke M’sia
Presiden Tharman Shanmugaratnam akan membuat lawatan negara ke Malaysia dari 12 hingga 15 Julai, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Iskandar.
Ini merupakan lawatan negara pertama Tuan Presiden ke Malaysia, sebagai timbal balas kepada lawatan Sultan Ibrahim ke Singapura pada Mei 2024.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 12 Julai, Tuan Presiden akan mengadakan pertemuan di ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur, dan negeri Selangor.
Di Kuala Lumpur, Tuan Presiden akan diberikan sambutan istiadat di Istana Negara, sebelum beliau mengadakan pertemuan bersama Sultan Ibrahim dan permaisuri, Raja Zarith Sofiah, kata MFA.
Di Istana Negara, Sultan Ibrahim akan turut menjamu Tuan Presiden dalam majlis santapan.
Tuan Presiden kemudian akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyantuni rakyat Singapura yang menetap di Malaysia dalam satu sesi jamuan.
Kementerian itu menambah bahawa Presiden Tharman juga akan mengadakan pertemuan bersama pemimpin dalam sektor ekonomi dan kewangan di Kelab Perniagaan KL serta ahli perniagaan dalam sesi sarapan.
Di Selangor pula, Tuan Presiden akan mengadakan pertemuan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Menteri Besar Selangor, Encik Amirudin Shari.
Tuan Presiden akan diiringi oleh isterinya, Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam,.
Turut bersama dalam lawatan ini ialah Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, dan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Ini selain Mayor CDC Central yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua; AP GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin dan AP GRC Holland-Bukit Timah, Encik Edward Chia, serta pegawai MFA, Pejabat Presiden dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).
