Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Tharman pengerusi bersama majlis baru Bank Dunia

Aug 13, 2024 | 12:33 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam akan mempengerusikan bersama Majlis Penasihat Peringkat Tinggi mengenai pekerjaan untuk tempoh dua tahun berakhir pada Julai 2026.
Presiden Tharman Shanmugaratnam akan mempengerusikan bersama Majlis Penasihat Peringkat Tinggi mengenai pekerjaan untuk tempoh dua tahun berakhir pada Julai 2026. - Foto BT

Presiden Tharman Shanmugaratnam akan mempengerusikan bersama satu majlis Kumpulan Bank Dunia baru yang bertujuan menangani krisis pekerjaan yang semakin meruncing di Dunia Selatan (Global South).

Bersama mantan Presiden Chile, Encik Michelle Bachelet, Tuan Presiden akan mempengerusikan bersama Majlis Penasihat Peringkat Tinggi mengenai pekerjaan itu untuk tempoh dua tahun berakhir pada Julai 2026, lapor akhbar The Straits Times.

Beliau akan berbuat demikian atas kapasiti bebasnya selepas dinasihatkan oleh Kabinet bahawa adalah demi kepentingan negara untuk beliau melaksanakan peranan ini, kata Istana pada 12 Ogos.

Presiden Kumpulan Bank Dunia, Encik Ajay Banga, berkata: “Pekerjaan ialah kayu pengukur kejayaan yang paling bermakna bagi mana-mana individu – dengan pekerjaan itu datang maruah, kebanggaan dan keupayaan untuk menyara diri dan keluarga anda.

“Kami melancarkan majlis ini untuk menetapkan strategi pembangunan kami di atas asas mewujudkan peluang pekerjaan di seluruh pelosok dunia.”

Kira-kira 1.2 bilion orang muda di Dunia Selatan – istilah yang biasanya digunakan untuk merujuk kepada negara membangun – dijangka menjadi dewasa dalam usia bekerja dalam 10 tahun akan datang, dengan pasaran pekerjaan dijangka mewujudkan 420 juta pekerjaan. Ini akan mewujudkan hampir 800 juta orang tanpa laluan kerjaya yang jelas.

Majlis penasihat baru itu akan menghimpunkan pakar-pakar terkemuka merentasi pemerintah, perniagaan, masyarakat sivil dan akademia untuk menawarkan kepimpinan pemikiran dan strategi untuk mewujudkan peluang pekerjaan berskala besar.

Strategi-strategi itu akan dikaji dalam Kumpulan Bank Dunia dengan tujuan untuk merintisnya.

Inisiatif yang menjanjikan kejayaan kemudiannya akan dipertingkatkan untuk menangani cabaran pekerjaan.

Tuan Presiden berkata: “Pekerjaan yang baik adalah teras kepada aspirasi di mana-mana, tetapi ia juga cabaran yang semakin meningkat dalam menghadapi teknologi yang pesat membangun, ketidaktentuan geo-ekonomi dan ancaman iklim.

“Strategi baru diperlukan untuk mencapai pekerjaan yang mampan dan pertumbuhan pendapatan di kalangan penduduk dunia yang sedang membangun, dan faedah yang akan dibawa kepada ekonomi dunia juga.”

Dr Bachelet menambah bahawa cabaran pekerjaan ini “belum pernah berlaku dalam sejarah moden” dan matlamat majlis itu adalah untuk memberi peluang kepada golongan muda untuk “menyumbang kepada, dan mendapat manfaat daripada ekonomi global yang lebih inklusif”.

Ahli-ahli majlis itu akan diumumkan kemudian dan kumpulan itu menetapkan matlamat untuk mengadakan perbincangan pertamanya pada mesyuarat tahunan Kumpulan Bank Dunia-Tabung Kewangan Antarabangsa 2024 pada Oktober.

Tuan Presiden telah dipilih sebagai ketua negara Singapura pada September 2023.

Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat selama lebih dua dekad dalam pemerintah termasuk sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan. Beliau kali terakhir berkhidmat dalam pemerintah sebagai Menteri Kanan, sebelum meletak jawatan untuk bertanding jawatan Presiden.

Tuan Presiden juga telah memegang jawatan tinggi dalam organisasi antarabangsa, dalam bidang seperti tadbir urus kewangan dunia dan kemampanan air global.

Antara pelantikan antarabangsa semasa yang lain, beliau mempengerusikan lembaga pengarah Kumpulan 30, sebuah majlis global bebas pemimpin ekonomi dan kewangan daripada sektor awam dan swasta.

Tuan Presiden juga mempengerusikan bersama Suruhanjaya Global mengenai Ekonomi Air, yang bertujuan mengubah tadbir urus air.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg