Presiden Tharman Shanmugaratnam menggesa semua rakyat Singapura supaya tidak melupakan semangat Singapura dan “tetap mengatakan saya sudah memberikan segala-galanya”.
Dalam satu hantaran Facebook beliau pada 8 Ogos, Tuan Presiden berkata bahawa dalam meraikan Hari Kebangsaan tahun ini, beliau tetap memikirkan mengenai atlet Singapura yang menunjukkan keberanian dalam saingan Sukan Olimpik Paris 2024.
Antara atlet yang dipuji Tuan Presiden ialah pemain badminton wanita Singapura, Yeo Jia Min, yang tetap berbangga dan mengatakan, “Saya memberikan segala-galanya”, ketika tewas kepada pemain nombor 10 dunia, Aya Ohori, di pusingan 16 terakhir perseorangan wanita.
Tuan Presiden berkata: “Kami semua merasakan kesedihannya apabila beliau tewas dalam perlawanan yang sengit, tewas 22-24 selepas seri tiga kali dalam perlawanan penentuan.
“Derita yang dirasakannya selepas berjam berlatih dan mengetahui bahawa anda hampir memenanginya,” puji Tuan Presiden.
Beliau menambah bahawa seperti Yeo, atlet Singapura yang lain juga “memberikan persembahan yang penuh semangat menentang pemain pilihan lebih tinggi”.
Walaupun kemenangan tidak berpihak kepada mereka, Tuan Presiden memuji semangat juang mereka seperti ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, yang beraksi di Paris selepas cedera selama lapan minggu pada awal 2024.
Shanti tetap kekal positif dan mengatakan bahawa “ini adalah sebahagian daripada perjalanan saya, saya tahu ia akan menjadikan saya lebih kuat”.
Tuan Presiden juga memberi penghargaan kepada perenang Singapura, Gan Ching Hwee, dan atlet kayak, Stephenie Chen, atas pencapaian mereka yang hebat di Paris.
Walaupun tidak melangkah ke pusingan seterusnya, Gan mencipta dua rekod nasional dan catat rekod peribadi terbaik dalam acara 800 meter gaya bebas dan 1,500 meter wanita.
Stephenie pula berjaya menghilangkan rasa gugup di hadapan pesaing yang lebih hebat di pusingan awal dan mara ke separuh akhir.
Salah seorang pemain termuda bagi tenis meja, Izaac Quek, juga tidak terlepas daripada pujian Tuan Presiden.
Pemain berusia 18 tahun itu menghargai pengalaman yang dilaluinya dan tetap mendambakan pingat di Olimpik satu hari nanti.
“Kejayaan anda sentiasa tiada had. Jika saya boleh melakukannya, semua orang boleh melakukannya,” ujar Izaac.
Tuan Presiden turut mengucapkan tahniah kepada pemain badminton lelaki Singapura, Loh Kean Yew, serta isteri kerana mendapat cahaya mata baru.
Tuan Presiden mengakhiri hantaran beliau dengan ucapan Selamat Hari Kebangsaan sambil berkata:
“Melalui suka dan duka, jangan pernah lepaskan semangat Singapura itu.
“Setiap daripada kita juga boleh berkata, “Saya memberikan segala-galanya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg