Presiden Tharman Shanmugaratnam memberitahu rakyat Singapura di luar negara supaya memahami peluang di pelbagai bahagian India, kerana akan ada peluang bagi rakyat Singapura untuk menambah nilai dengan kemahiran dan pengalaman mereka di mana sahaja mereka berada.
Dalam berinteraksi dengan kepelbagaian di India, beliau menekankan pentingnya saling menghormati dan berkata, “apa sahaja yang kita lakukan di India, lakukan dengan rendah hati.”
“Ini adalah benua yang kaya dengan sejarah, budaya, dan terdapat cara bagaimana mereka lalukan perkara yang boleh kita pelajari – jadi ia adalah hubungan pembelajaran dua hala,” kata Tuan Presiden.
Beliau berkata demikian di New Delhi pada 15 Januari di majlis resepsi bersama rakyat Singapura di luar negara untuk merayakan hubungan lama antara kededua negara, serta ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura, lapor The Straits Times.
Presiden Tharman berada di India untuk lawatan rasmi lima hari, dengan meluangkan masa di New Delhi dan Odisha di timur India.
Berucap di hadapan kira-kira 200 individu, kebanyakannya rakyat Singapura yang bekerja di India, Presiden Tharman menyatakan Odisha bukanlah kawasan yang sering dikunjungi rakyat Singapura atau dikenali oleh banyak perniagaan.
“Apabila kita sebagai rakyat Singapura, perniagaan, usahawan, profesional, dan individu, berinteraksi dengan India, kita perlu menghargai dan menyelami kepelbagaian di India.
“Itulah kekuatan besar India, dan kita perlu mengenalinya,” kata beliau.
Tuan Presiden berkata kededua negara ingin saling memberi manfaat.
“Minat bersama kita untuk mengukuhkan hubungan ini kini menjadi asas yang kukuh untuk masa depan,” tambah Tuan Presiden.
Beliau juga menekankan bahawa hubungan antara Singapura dan India kini berada dalam “fasa baru”.
Beliau berkata kededua negara sedang berusaha untuk mengukuhkan bidang kerjasama yang sedia ada, seperti kemahiran, pertahanan, dan ekonomi, serta bekerjasama dalam inisiatif baru seperti membantu India membangunkan ekosistem semikonduktor, taman perindustrian generasi baru, dan dalam bidang kemampanan.
“Ia adalah hubungan yang terus berkembang, dan kini memenuhi kepentingan masa depan Singapura dan India,” kata beliau.
“Kami sependapat dengan kepimpinan India walaupun kededua negara sangat berbeza.”
Tuan Presiden menggesa supaya pandangan terhadap India diperluaskan.
“Berinteraksi lebih kerap dengannya, dan kita semua akan mendapat manfaat daripadanya,” kata beliau.
Pada 16 Januari, Tuan Presiden akan menerima sambutan rasmi di Rashtrapati Bhavan, kediaman rasmi presiden, dan bertemu dengan Presiden Droupadi Murmu, yang akan mengadakan jamuan negara untuk menghormatinya.
Beliau juga akan bertemu dengan Perdana Menteri Narendra Modi dan beberapa menteri lain.
Di Odisha, beliau akan diberi taklimat mengenai strategi ekonomi dan peluang di negeri tersebut serta melawat beberapa lokasi termasuk kilang pembuatan vaksin Bharat Biotech dan Pusat Kemahiran Dunia yang ditubuhkan oleh Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg