Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usahawan India terima Anugerah Warga Negara Kehormat dari S’pura

Presiden Tharman Shanmugaratnam sampaikan pengiktirafan Tarun Das kerana perjuang hubungan S’pura-India
Jan 15, 2025 | 8:36 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam (kanan) menyampaikan Anugerah Warga Negara Kehormat kepada Encik Tarun Das, mantan Ketua Pengarah Perikatan Perusahaan India (CII), sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam memperjuangkan hubungan Singapura-India selama beberapa dekad.
Presiden Tharman Shanmugaratnam (kanan) menyampaikan Anugerah Warga Negara Kehormat kepada Encik Tarun Das, mantan Ketua Pengarah Perikatan Perusahaan India (CII), sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam memperjuangkan hubungan Singapura-India selama beberapa dekad. - Foto ST

Presiden Tharman Shanmugaratnam telah menyampaikan Anugerah Warga Negara Kehormat kepada Encik Tarun Das, mantan Ketua Pengarah Perikatan Perusahaan India (CII), sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam memperjuangkan hubungan Singapura-India selama beberapa dekad.

Anugerah oleh pemerintah Singapura itu, yang kali pertama diberi pada 2003, mengiktiraf warga asing yang telah memberi khidmat meluas kepada Singapura atau yang telah memberi kesan besar dalam bidang seperti perniagaan, sains dan teknologi, komunikasi maklumat dan sebagainya.

Tuan Presiden menyampaikan anugerah itu, yang merupakan pengiktirafan tertinggi negara untuk penerima bukan warga Singapura, kepada Encik Das di New Delhi pada 15 Januari, semasa mengadakan lawatan negara ke India dari 14 hingga 18 Januari, atas undangan Presiden India, Cik Droupadi Murmu.

Lawatan Tuan Presiden, yang juga merupakan yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Presiden Singapura pada September 2023, tiba pada ketika kedua-dua negara memperingati ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik.

Sebagai sebahagian daripada lawatan negaranya ke India, Tuan Presiden akan mengunjungi New Delhi dari 15 hingga 16 Januari; dan Odisha dari 17 hingga 18 Januari; ditemani isterinya, Puan Jane Ittogi.

Lawatan Tuan Presiden ke India turut diiringi Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat; dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann.

Turut hadir adalah Anggota Parlimen (AP) Encik Lim Biow Chuan (Mountbatten); Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar); dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) serta pegawai dari Pejabat Presiden, Kementerian Ehwal Luar (MFA), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, dan Enterprise Singapore.

Dalam mengiktiraf Encik Das dengan Anugerah Warga Negara Kehormat itu, MFA berkata Encik Das, dalam peranannya sebagai Ketua Pengarah CII, yang memperjuangkan dan memudahkan perniagaan bagi perusahaan India, secara peribadi, telah menerajui banyak inisiatif untuk membina jambatan antara Singapura dengan India.

MFA menambah Encik Das adalah “salah seorang penyokong kuat Singapura di India”, sambil menjelaskan bahawa sumbangannya juga di luar bidang perdagangan dan ekonomi dalam usaha memupuk hubungan lebih erat antara warga di kedua-dua negara.

Encik Das, yang kali pertama mengetuai delegasi perindustrian India untuk melawat Singapura pada 1993 semasa peringkat baru pembebasan ekonomi India, berkata Anugerah Warga Negara Kehormat itu sangat istimewa, dengan beliau menerimanya dengan penuh emosi dan rendah hati.

“Saya amat berbesar hati dan bertuah kerana dipilih oleh pemerintah Singapura untuk menerima Anugerah Warga Negara Kehormat.

“Perjalanan saya dengan Singapura bermula 31 tahun lalu dan saya telah melihat apa yang dinamakan sebagai ‘Demam Singapura-India’, mencerminkan perkongsian pelbagai aspek, berkembang dan meningkat selama ini. Sumber kebahagiaan yang besar untuk saya,” kata Encik Das.

Encik Das, yang turut dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Awam Singapura pada 2004, adalah warga India kedua yang menerima Anugerah Warga Negara Kehormat Singapura.

Pengerusi Kumpulan Tata, mendiang Encik Ratan Tata, telah dianugerahkan anugerah yang sama pada 2008, kerana menjadi penyokong kuat Singapura, dan atas sumbangan berharganya kepada transformasi ekonomi Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg