Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengucapkan tahniah kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, atas pelantikannya, sambil menarik perhatian kepada hubungan kukuh antara Singapura dengan Amerika.
Dalam surat bertarikh 20 Januari, Tuan Presiden menekankan persahabatan yang berkekalan dan bermakna antara kedua-dua negara, yang beliau nyatakan telah semakin mendalam selama bertahun-tahun.
“Hubungan kita bercirikan rasa saling menghormati dan kerjasama, dan kita telah bekerjasama dengan baik untuk memajukan kepentingan bersama kedua-dua rakyat kita,” tulisnya dalam surat yang dikeluarkan kepada media oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Beliau berkata semasa penggal Encik Trump sebagai presiden sebelum ini, dari 2017 hingga 2021, terdapat pencapaian ketara dalam hubungan dua hala itu.
Singapura bersedia untuk membina asas ini, tambahnya, sambil mencadangkan bahawa kedua-dua negara boleh meningkatkan lagi hubungan ekonomi dan pertahanan, serta meneroka bidang kerjasama baru.
“Saya yakin di bawah kepimpinan anda, kita akan mempunyai lebih banyak peristiwa penting untuk diraikan,” katanya.
Tuan Presiden berkata Amerika terus menjadi sumber dinamisme, daya tahan dan inovasi, dengan banyak lagi yang boleh diharapkan pada masa depan.
Kepimpinan Encik Trump akan menjadi penting dalam menangani kedua-dua cabaran dan peluang yang dihadapi Amerika dan dunia hari ini, tambahnya.
“Sila terima ucapan selamat saya semasa anda mengambil alih jawatan Presiden. Saya juga berharap dapat menyambut kedatangan anda ke Singapura tidak lama lagi,” katanya.
Encik Wong, dalam surat berasingan dan hantaran Facebook pada 20 Januari, mengucapkan tahniah kepada Presiden Trump dan Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance.
Beliau menyatakan bahawa Amerika adalah salah sebuah negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Singapura pada 1965, dan perkongsian antara kedua-dua negara telah berkembang selama beberapa dekad.
Dalam suratnya kepada Encik Trump yang dikeluarkan oleh MFA, Encik Wong berkata: “Saya gembira mendengar tentang kenangan indah anda di Singapura daripada lawatan terakhir anda pada 2018 dan mengalu-alukan kedatangan anda ke sini lagi tidak lama lagi.”
Encik Wong turut mengulangi bahawa Singapura dan Amerika memiliki hubungan perkongsian yang kukuh dan semakin erat dari tahun ke tahun.
Dalam bidang pertahanan, kerjasama kekal teguh dan tentera kedua-dua negara juga menikmati hubungan rapat, disokong oleh Perjanjian Rangka Kerja Strategik 2005, kata Encik Wong.
Dalam bidang keselamatan dan menentang pengganasan, Singapura dan Amerika telah bekerjasama rapat, dengan Singapura satu-satunya negara Asia yang telah menyumbang aset dan kakitangan tentera kepada gabungan Defeat-ISIS, tambah Encik Wong.
Dari segi ekonomi, Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika-Singapura juga terus membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara, tambahnya.
Perdagangan dua hala telah meningkat hampir tiga kali ganda sejak perjanjian itu dikuatkuasakan pada 2004, dengan Amerika secara konsisten mengekalkan lebihan perdagangan yang besar dengan Singapura, kata Encik Wong.
Sementara itu, Singapura juga merupakan pelabur Asia ketiga terbesar di Amerika, katanya.
Secara bersama, pelaburan dan perdagangan dua hala ini menyokong lebih daripada 270,000 pekerjaan bergaji tinggi di seluruh Amerika, katanya sambil menambah bahawa Singapura juga menyediakan pintu masuk untuk perniagaan Amerika yang ingin mengembangkan operasi mereka di Asia.
Encik Wong berkata Amerika telah memainkan peranan yang amat diperlukan dalam menjaga kepentingan bersama global, menegakkan kestabilan dan memupuk keselamatan antarabangsa.
“Saya yakin di bawah kepimpinan anda, Amerika akan terus melaksanakan peranan globalnya,” kata Encik Wong.
“Amerika boleh terus bergantung kepada Singapura sebagai rakan dan rakan kongsi yang dipercayai, sambil kita bekerjasama untuk memajukan banyak kepentingan bersama kita.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg