Dalam dunia yang semakin bergelora, Singapura dan Australia bekerja rapat dalam pelbagai sektor, daripada pertahanan dan pendidikan, hingga kepada kebudayaan dan sukan.
Kedua-dua negara turut berusaha menegakkan sistem perdagangan sejagat yang terbuka dan berasaskan peraturan, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam, pada 4 Ogos.
Asas kepada kerjasama erat itu adalah sejarah panjang yang dikongsi bersama, dan hubungan akrab antara kedua-dua negara dan sesama rakyat yang dirasai dan sentiasa diperbaharui, tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam satu jamuan negara yang diadakan bagi meraikan Ketua Gabenor Australia, Cik Sam Mostyn, sempena lawatan negara beliau ke Singapura dari 3 hingga 6 Ogos.
Lawatan tersebut juga sempena sambutan kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60), dan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Australia, lapor The Straits Times (ST).
Dalam pertemuan berasingan dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, Cik Mostyn menegaskan hubungan sesama rakyat yang erat dan pertukaran budaya yang kukuh antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan mengenai Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) Singapura-Australia, yang ditubuhkan pada 2015 dan menjadi satu perjanjian meluas untuk memperkukuh kerjasama Singapura dengan Australia.
Setakat ini, kerjasama tersebut telah menyaksikan lebih 110 inisiatif diselesaikan, merentasi enam tonggak utama iaitu ekonomi dan perdagangan; pertahanan dan ehwal luar; sains dan inovasi; hubungan sesama rakyat; ekonomi digital; dan ekonomi hijau.
Cik Mostyn dan Encik Wong melahirkan harapan agar CSP tersebut dapat dipertingkatkan pada akhir 2025 apabila Encik Wong melawat Australia.
CSP yang dipertingkatkan itu dijangka akan memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang seperti pertahanan, daya tahan rantaian bekalan, tenaga boleh diperbaharui, serta teknologi siber dan kritikal.
Dalam satu hantaran di Facebook, Encik Wong berkata: “Kerjasama kita yang kukuh dan berpanjangan ini berasaskan pandangan yang dikongsi bersama dan kepercayaan bersama yang mendalam.”
Beliau berharap dapat membawa kerjasama tersebut ke peringkat seterusnya, apabila beliau melawat Australia pada akhir 2025, tambahnya.
Dalam jamuan makan malam negara, Tuan Presiden berkata Australia adalah antara negara pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Singapura.
Bahkan, hubungan tersebut bermula lebih awal lagi, iaitu semasa Perang Dunia Kedua, apabila tentera Australia membantu dalam mempertahankan Malaya dan Singapura.
“Daripada sejarah yang dikongsi bersama itulah lahirnya satu kerjasama yang berdaya tahan.
“Kita menjalin kerjasama yang semakin mendalam, dan merentasi pelbagai usaha yang luar biasa luas,” katanya.
Tuan Presiden menekankan bahawa pertahanan menjadi tonggak penting dalam hubungan tersebut, sedang kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-35, Latihan Wallaby, pada 2025 – latihan luar negara terbesar Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Kedua-dua negara juga semakin mempererat hubungan dalam pendidikan, kebudayaan dan sukan.
Lebih 60,000 orang yang berasal dari Singapura kini menetap di Australia, manakala lebih 20,000 warga Australia telah menjadikan Singapura sebagai rumah kedua mereka, katanya.
“Kita sedang mengharungi dunia yang jauh lebih tidak menentu, lebih terdedah kepada kejutan, serta semakin berisiko mengalami kerosakan akibat krisis iklim dan ancaman kesihatan sejagat yang baru,” kata Tuan Presiden.
“Di tengah-tengah dunia yang bergelora ini, Singapura dan Australia memilih untuk melihat ke hadapan, dan memimpin bersama,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg