Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Australia ulangi komitmen hubungan erat dua negara

May 20, 2025 | 6:52 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan), bertemu dengan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, pada 20 Mei dan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan), bertemu dengan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, pada 20 Mei dan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global. - Foto MDDI

Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, mengadakan lawatan ke Singapura pada 20 Mei, yang dihoskan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.

Perdana Menteri kededua negara menekankan semula komitmen terhadap hubungan dua hala yang sangat baik, yang disokong Kerjasama Strategik Menyeluruh (CSP) Singapura-Australia.

CSP pertama ditubuhkan pada 2015 untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti perdagangan, pertahanan dan hubungan rakyat.

“Mereka mengalu-alukan kemajuan positif dalam perbincangan untuk mempertingkat kerjasama dua hala melalui CSP yang dinaik taraf, yang akan dilancarkan akhir tahun ini sempena Mesyuarat Pemimpin Singapura-Australia ke-10,” menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 20 Mei.

Mesyuarat Pemimpin Tahunan itu adalah platform utama bagi kededua pemimpin negara membincangkan kerjasama dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.

Kededua Perdana Menteri turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global yang penting.

Mereka bersetuju tentang kepentingan mengekalkan sistem multilateralisme yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan, serta membincangkan cara untuk bekerjasama ke arah itu, termasuk dengan rakan-rakan sealiran.

Encik Wong mengalu-alukan komitmen baru Encik Albanese untuk terus melibatkan diri dengan Asean, termasuk melalui Strategi Ekonomi Australia untuk Asia Tenggara menjelang 2040.

MFA, dalam kenyataannya menambah kededua pemimpin turut menegaskan semula komitmen mereka untuk bekerjasama bagi mewujudkan rantau yang stabil, aman dan makmur.

Encik Albanese sedang mengadakan lawatan antarabangsa pertamanya selepas menang pilihan raya Australia pada 3 Mei.

Singapura merupakan negara terakhir dalam lawatan Encik Albanese yang berlangsung selama seminggu.

Beliau telah melawat Indonesia pada 14-16 Mei sebelum ke Vatican City untuk menghadiri majlis perasmian Paus (Pope) Leo XIV pada 18 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg