Usaha konsisten merancang dan membina masa depan bersama adalah tonggak dalam hubungan dua hala Singapura-Malaysia, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam, sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang “sukar ditemui di negara-negara lain”.

Beliau menambah matlamat lebih besar yang diletakkan kedua-dua negara ke arah memperluaskan usahasama menjadikan hubungan antara Singapura dengan Malaysia kekal utuh.

Ini sesuatu yang semakin jarang dilihat dalam dunia kini yang berpecah-belah, ujar beliau.

Ketika berucap semasa pertemuannya bersama Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Iskandar dan permaisuri, Raja Zarith Sofiah, di Istana Negara pada 13 Julai, Tuan Presiden berkata Singapura dan Malaysia berkongsi sejarah yang menyaksikan kededua negara bergabung sebagai satu negara pada September 1963 “dalam keadaan sukar”.

Ini diikuti dengan perpisahan pada Ogos 1965, yang juga satu detik sukar bagi kedua-dua pihak, tambahnya.

Beliau berkata: “Secara berkala, kita turut berdepan isu-isu penting untuk diatasi – isu-isu yang mencerminkan kebergantungan antara kedua-dua negara.

“Tetapi kita tidak membiarkan isu-isu ini menjejas keupayaan kedua-dua negara untuk mengusahakan bidang kerjasama yang positif dan baharu.

“Orientasi tersebut, iaitu sentiasa memberi tumpuan kepada matlamat lebih besar untuk berkembang dan memperluaskan kepentingan bersama, menjadikan hubungan kita teguh dan kuat – malah ia satu perkara yang jarang dilihat dalam dunia hari ini.”

Presiden Tharman menukil pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Laluan Sistem Transit Laju (RTS) sebagai contoh perluasan usahasama Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, usaha ini mencerminkan keinginan bersama kedua-dua negara untuk “mengembangkan perkara yang saling melengkapi antara ekonomi”.

Namun, yang menjadi tambatan kepada perkembangan dan pencapaian ini, kata Tuan Presiden, adalah pertalian sosial antara kedua-dua rakyat yang sudah terjalin buat sekian lama.

Beliau berkata: “Semangat kekeluargaan dan kerjasama berkekalan inilah yang memberi kita keyakinan tambahan, sedang kita mengharungi dunia yang semakin berpecah-belah, kerana kita tahu kita boleh bergantung antara satu sama lain.”

Susulan pertemuan antara kedua-dua ketua negara, Sultan Ibrahim menjamu Tuan Presiden, yang diiringi isterinya, Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam, dalam majlis santapan.

Ketibaan Presiden Tharman ke Istana Negara disambut dengan penuh istiadat, dengan Tuan Presiden diberi penghormatan untuk memeriksa kontinjen Kawalan Kehormatan.

Selepas pertemuan dengan Sultan Ibrahim, Tuan Presiden dijangka mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyantuni rakyat Singapura yang menetap di Malaysia dalam satu sesi jamuan di ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur.

Awal dari itu, Tuan Presiden tiba di Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Julai dan disambut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Encik Steven Sim bersama isteri, Cik Joreen Chan.