DAR ES SALAAM (Tanzania): Singapura dan Tanzania boleh memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang baik dan pertumbuhan terangkum, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Terdapat “potensi sebenar untuk perkongsian bermakna” antara kedua-dua pihak, merentasi sektor seperti agroperniagaan hingga pelancongan, katanya pada 9 Jun kepada para pemimpin perniagaan semasa lawatannya ke negara Afrika Timur itu.

Menggambarkan Tanzania sebagai “sebuah negara yang penuh potensi”, Tuan Presiden menyebut kelebihan negara itu, termasuk penduduknya yang muda dan berjiwa keusahawanan, sumber asli yang kaya serta kedudukannya yang strategik dalam menghubungkan pasaran serantau dan global. 

Peluang pelaburan yang semakin berkembang, termasuk dalam prasarana, turut beliau tekankan.

Perkongsian antara kedua-dua pihak akan menggabungkan kelebihan Tanzania dengan pengalaman Singapura dalam membina sistem yang cekap, pengurusan rantaian bekalan termaju, perkhidmatan bernilai tinggi dan ekonomi digital, kata Tuan Presiden.

“Sekiranya kita berjaya memanfaatkan kekuatan masing-masing dengan baik, ia boleh mewujudkan pekerjaan yang baik, keupayaan yang lebih tinggi dan pertumbuhan terangkum,” katanya di forum perniagaan bersama Singapura-Tanzania, yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Julius Nyerere. 

Beliau berkata negara perlu mempelbagaikan ekonomi dengan membina “jalan peluang baru” serta rantaian bekalan yang lebih luas dan kukuh, memandangkan keadaan perdagangan dunia yang semakin tidak menentu. 

Pada 9 Jun, beliau mengumumkan bahawa Singapura akan berunding untuk memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Masyarakat Afrika Timur (EAC), sebuah kumpulan serantau yang mempunyai lapan negara termasuk Tanzania.

Rundingan dijangka bermula tidak lama lagi, katanya di forum tersebut.

Ini akan menjadi FTA pertama Singapura dengan rakan kongsi Afrika, dan FTA pertama EAC dengan rakan kongsi bukan Afrika.

Ia akan membuka laluan baru bagi perdagangan dan pelaburan antara Afrika Timur dan Asia Tenggara, katanya.

Presiden Tanzania, Cik Samia Suluhu Hassan, yang turut berucap di forum itu, berkata Singapura sudah lama diiktiraf sebagai salah satu contoh transformasi ekonomi terbaik di dunia. 

Kedua-dua negara menikmati hubungan diplomatik yang kukuh dan mesra, namun masih terdapat potensi yang belum diterokai untuk memperkukuh lagi kerjasama ekonomi antara mereka, katanya. 

Cik Samia menunjuk kepada rekod Singapura dalam transformasi ekonomi, pembangunan pelabuhan, teknologi dan pengurusan pelaburan sebagai rujukan bagi Tanzania dalam mengejar agenda perindustriannya sendiri.

Merujuk kepada perjanjian Singapura dengan Vietnam dan Thailand bagi memastikan bekalan beras yang stabil ke Singapura, beliau mencadangkan perjanjian serupa dengan Tanzania untuk hasil pertanian seperti kopi, teh, gajus dan rempah-ratus.

Tanzania merupakan rakan dagang ke-12 terbesar Singapura di Afrika, dengan jumlah perdagangan dua hala mencapai $227.7 juta pada 2025.

Kepentingan komersial Singapura di Tanzania tertumpu terutamanya dalam sektor pengangkutan dan logistik, perdagangan, infrastruktur dan persekitaran binaan, hospitaliti, serta minyak dan gas. 

Syarikat Singapura yang beroperasi di Tanzania termasuk Pacific International Lines, Wilmar International, Gas Supply dan Nomanbhoy & Sons.

Forum itu dianjurkan bersama oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) untuk membolehkan pemimpin perniagaan dari kedua-dua pihak menjalin hubungan dan meneroka peluang kerjasama.